Datuk Abdul Halim Kader. FOTO File NSTP
Datuk Abdul Halim Kader. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Seperti biasa Datuk Abdul Halim Kader terus kekalkan jawatan nombor satu dalam Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi penggal 2021-2025 selepas menerima 30 undian pada kongres yang dilakukan secara dalam talian bermula petang tadi.

Keputusan terbabit sekali gus menyaksikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail gagal merebut jawatan terbabit selepas beliau mengambil keputusan saat akhir untuk bertanding.

Selain dua individu berkenaan, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) Mohd Nasri Haron turut kempunan menyandang jawatan terbabit dan hal ini bermakna Halim dilihat masih lagi mendapat kepercayaan mengemudi badan induk sepak takraw Asia itu.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Charlem Chaiwatcharaporn dari Thailand memperoleh 30 undian manakala Yogender Singh Dahiya (India) meraih 29 undian untuk masing-masing memegang jawatan berkenaan.

Dua lagi pencabar jawatan kedua tertinggi itu, Datuk Abidullah Salleh dari Malaysia dan Asnawi Abdul Rachman (Indonesia) masing-masing tidak memperoleh sebarang undi.

Barisan naib presiden bagi penggal baharu diisi Meas Sarin (Kemboja), Soe Naing (Myanmar), Sohrab Azad Khankandi (Iran), Masaru Misawa (Jepun), Oh Joo Young (Korea Selatan), Syafrizal Bahtiar (Indonesia), Tsai Hung-Peng (Taiwan) dan Noushad Ahmed Khan (Pakistan) dengan masing-masing memperoleh 30 undi.

Sepuluh posisi yang dipertandingkan untuk jawatan Ahli Majlis dan ia diisi Le Hong Tinh dari Vietnam, Samaranyake Abeykoonge Kingsley Chareendra de Silva (Sri Lanka), Safaa Sahib Nayyef Alnawafali (Iraq), Kasem Inthara (Laos), Chan Wai Yuen (Hong Kong), Un Oi Mou (Macau), Abdulaziz Albusaidi (Oman), Netra Prasad Gurung (Nepal), Mohammed Faruque Dhali (Bangladesh) dan Mohammad Yasin Mohammadi (Afghanistan).

Calon dari Malaysia yang juga Ahli Majlis PSM, Yusoff Ali gagal meraih undian bagi jawatan berkenaan.

Ia sekali gus bermakna, jawatan yang dipertandingkan dalam kongres itu menyaksikan tiada wakil Malaysia berjaya tersenarai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 9:59 PM