ALVAREZ (kiri) menumbangkan Yildirim. FOTO AFP
ALVAREZ (kiri) menumbangkan Yildirim. FOTO AFP
AFP

Miami: Saul Canelo Alvarez menewaskan petinju Turki, Avni Yildirim menerusi kiraan knockout pada pusingan ketiga untuk mengekalkan gelaran super middleweight WBC dan WBA.

Alvarez yang berasal dari Mexico, mendominasi pertarungan itu bermula pusingan pertama serta menumbangkan lawannya itu di atas kanvas pada pusingan ketiga di Stadium Hard Rock Miami.

Alvarez yang mempunyai rekod 55-1-2 dengan 37 knockout, kembali semula ke gelanggang selepas dua bulan menewaskan petinju Britain, Callum Smith, Disember tahun lalu.

Selepas tamat perlawanan, promoter Eddie Hearn berkata petinju Mexico berusia 30 tahun itu akan merebut tali pinggang WBO pada 8 Mei bertemu petinju Britain, Joe Saunders.

Perlawanan hari ini memberi bayangan kepada Saunders betapa hebatnya Alvarez yang mempamerkan beberapa kemahiran berbeza dan tumbukan padu ketika mengatasi Yildirim.

Pencabar Alvarez itu yang beraksi kali pertama selepas dua tahun, kurang mempamer aksi meyakinkan dengan Alvarez mudah menewaskannya pada pusingan pertama.

Pada pusingan kedua, Yildirim masih tercari-cari rentak ketika Alvarez terus mengekalkan prestasi konsisten.

Alvarez melepaskan tumbukan padu tepat ke dagu kanan lawannya itu sekali gus menyaksikan Yildirim rebah pada pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 12:55 PM