HARRIF ketika beraksi di LTdL tahun lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
HARRIF ketika beraksi di LTdL tahun lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas diberi 'lampu hijau' oleh agensi kerajaan untuk berlatih dan beraksi di Turki, pakar pecut berbasikal lebuh raya, Harrif Saleh mengakui sudah tidak sabar untuk memberi kayuhan terbaik seandainya terpilih oleh jurulatih menyertai beberapa perlumbaan di negara Eropah itu.

Menurut pelumba yang terkenal dengan gelaran 'Mamat' itu, dia sangat berterima kasih oleh beberapa agensi kerajaan, persatuan kerana meluluskan Terengganu Inc Cycling Team (TSG) untuk berkunjung ke luar negara walaupun pandemik Covid-19 masih lagi menular.

"Sudah lama saya tidak berlumba, rasanya ini adalah satu peluang untuk kami semua mengambil semula semangat baru. Rasa lega boleh pergi berlumba dan berlatih di luar negara," katanya yang hanya menyertai dua kejohanan musim lalu iaitu Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Kejohanan Kebangsaan.

Ujar Harrif, ini adalah kali pertama dia berkunjung ke Eropah kerana sepanjang kariernya dia hanya menghabiskan masa berlatih serta menyertai perlumbaan di Australia dan Asia sahaja.

"Saya akan cuba sesuatu yang baru, memang tidak pernah sebelum ini ke Eropah. Banyak dengan perlumbaan di Australia dan Thailand saja. Ini peluang buat saya merasai pengalaman baru.

"Bagaimanapun, untuk berlumba di sana saya belum pasti, semuanya terpulang kepada jurulatih, kalau dalam latihan saya mampu memberi komitmen dan keadaan saya sudah bersedia mungkin ada peluang. Kalau jurulatih cakap masih belum dapat berlumba saya tdiak kisah, kerana kita semua sekarang ini tidak tahu keadaan masing-masing.

"Semuanya sudah lama tidak berlumba dan kita akan memulakan kembali dari kosong. Mungkin kita memerlukan sedikit masa untuk mencapai semula pada tahap terbaik. Jadi kita perlu sesuaikan dulu dengan latihan di altitud tinggi serta kawasan berbukit di sana," kata Harrif.

TSG akan berkampung selama sebulan di Turki dan menumpukan pada enam kejohanan berstatus 1.2 bermula Grand Prix (GP) Alanya, GP Gazipasa, GP Velo Manavgat, GP Velo Alanya, GP Mediterranean dan GP Gundogmus.

Musim ini TSG mempertaruhkan enam pelumba tempatan yang diketuai abang Harrif, Zamri Salleh, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, Afiq Huznie Othman, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek dan Mohd Shahrul Mat Amin.

Skuad itu turut diperkuatkan enam pelumba import iaitu Goh Choon Huat (Singapura), Metkel Eyob ( Eritrea), Carlos Quintero (Colombia), Artem Ovechkin ( Rusia), Youcef Reguigui (Algeria) dan Robin Jurado Lopez dari Panama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 9:29 PM