UNDERTAKER mengumumkan persaraannya November tahun lalu. FOTO Agensi
UNDERTAKER mengumumkan persaraannya November tahun lalu. FOTO Agensi
Agensi

Florida: Undertaker mungkin akan kembali beraksi di WWE, hanya tiga bulan selepas mengumumkan persaraan.

Bintang berusia 55 tahun itu membuat pengumuman secara rasmi berhubung perkara itu di Survivor Series, November tahun lalu, iaitu genap 30 tahun selepas kali pertama beraksi di pentas WWE.

Bagaimanapun dengan WrestleMania akan berlangsung dalam tempoh terdekat, ada laporan dipetik berkata Undertaker atau nama sebenarnya Mark Calaway akan kembali beraksi.

Menurut @WrestleVotes, masa depan Undertaker masih belum diputuskan lagi dan mungkin bos WWE, Vince McMahon mampu memujuknya untuk kembali beraksi.

Ia selepas WWE mengumumkan aksi WrestleMania selama dua hari berturut-turut pada 10 dan 11 April akan berlangsung di Stadium Raymond James di Tampa, Florida.

John Cena dan Goldberg adalah antara bintang yang dijangka beraksi pada saingan itu.

Di sebalik khabar angin Untertaker akan keluar daripada persaraan, legenda berusia 55 tahun itu baru-baru ini melabelkan pendekatan terkini WWE tidak sesuai dengan usianya dan menuntutnya untuk bersara.

"Produk WWE berubah sangat drastik. Kenyataan saya mungkin menyebabkan ramai yang berasa kecewa tetapi saya perlu menyatakan perkara yang benar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 9:41 PM