HAIQAL Hanafi meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki sempena Sukan SEA ke-30 Filipina tahun lalu di Clark Parade Ground. FOTO Aizuddin Saad
HAIQAL Hanafi meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki sempena Sukan SEA ke-30 Filipina tahun lalu di Clark Parade Ground. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi menyambut perkhabaran pembatalan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2021 dengan hati terbuka.

Tiada ada yang mampu dilakukan apabila keputusan berkenaan sudahpun diputuskan biarpun pemenang pingat emas Sukan SEA Filipina dengan catatan 10.35 saat itu masih mengharapkan dapat beraksi di temasya berkenaan.

Mengakui sedikit terkilan dengan berita itu, Haiqal berkata dia kini akan meneruskan latihan seperti biasa di bawah bimbingan Dwayne Miller dan memberi fokus kepada kejohanan terdekat iaitu Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadualkan bulan depan.

"Sebarang keputusan yang sudah diputuskan oleh kerajaan perlu diterima dengan hati terbuka kerana penularan wabak Covid-19 yang masih belum menampakkan penurunan.

"Memang saya harap ia ditunda sebab kalau tak ada Sukma rasa rugi juga sebab ia adalah Sukma terakhir saya.

"Sekarang ini apa yang boleh dilakukan adalah meneruskan latihan seperti biasa dan terus fokus agar sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan," katanya.

Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu, ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021 kerana pandemik itu, sebelum dijadualkan semula ke 2 hingga 10 April.

Pembatalan Sukma Johor itu sudah mengambil kira pelbagai aspek selepas tiada jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang terbabit ada temasya itu.

Keputusan itu turut dipengaruhi oleh kalendar temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada 2021 yang terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadan dari 13 April hingga 13 Mei, Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun-11 Julai), Sukan Olimpik Tokyo (23 Julai-8 Ogos), Paralimpik Tokyo (24 Ogos-5 September) serta Sukan SEA Vietnam pada hujung tahun.

Namun mungkin akan ada khabar gembira buat atlet yang terlebih had umur apabila Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal temasya berkenaan akan meneliti dan mencadangkan semula perubahan-perubahan peraturan yang terbabit termasuk had umur dan kelayakan penyertaan pada mesyuarat akan datang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 8:18 PM