PRESIDEN Persatuan Hoki Selangor S Ganesh pada sidang media selepas perasmian Liga Hoki Selangor TNB QNET 2024 di Menara Qi hari ini. -FOTO Bernama
PRESIDEN Persatuan Hoki Selangor S Ganesh pada sidang media selepas perasmian Liga Hoki Selangor TNB QNET 2024 di Menara Qi hari ini. -FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Petaling Jaya: Liga Hoki Selangor TNB-QNET (SHL) akan menjadi medan terbaik bagi negeri itu melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan berkenaan.

Menurut Presiden Persatuan Hoki Selangor S Ganesh, selepas hampir lima tahun tidak diadakan pertandingan seperti itu, pihaknya kembali dengan mewujudkan beberapa kategori dalam usaha untuk memeriahkan lagi kejohanan berkenaan.

Tambahnya, SHL akan diadakan dalam tiga divisyen bertujuan untuk memberi peluang lebih banyak pasukan menyertai pertandingan itu dan ia secara tidak langsung membuka peluang untuk pihak mereka mengesan bakat baharu sukan itu.

"Kali terakhir liga ini (SHL) diadakan pada tahun 2019, disebabkan pandemik Covid-19 ia terhenti seketika dan tahun ini ia kembali diadakan.

"Tujuan kita adakan liga ini untuk akar umbi dan dengan sokongan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC ) kita akan lebih giat adakan liga seperti ini agar kita dapat mengesan dan mencungkil lebih ramai bakat dalam sukan ini.

"Divisyen 1 akan disertai tujuh pasukan terbaik dan Divisyen 2 pula sebanyak 10 pasukan akan bersaing sementara bagi Divisyen 3, khusus untuk wanita dan enam pasukan akan berlawan semasa mereka, "katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Liga Hoki Selangor TNB-QNET (SHL) hari ini.

Untuk makluman, SHL akan membuka tirai pada hari ini serta pertandingan itu akan berlangsung hampir dua bulan dan akan berakhir pada 2 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 2:18 PM