ANIL Jeet  ketika sidang media  berhubung penangguhan Liga Hoki Remaja. FOTO Bernama
ANIL Jeet ketika sidang media berhubung penangguhan Liga Hoki Remaja. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


JAWATANKUASA Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan saingan Liga Hoki Remaja 2020 terpaksa ditunda akibat penularan wabak Convid-19.

Menurut pengerusinya, Datuk Seri Anil Jeet Singh, mereka sudah 98 peratus untuk memulakan saingan liga namun notis daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melarang pelajar melakukan aktiviti luar dan perbincangan bersama Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, liga berkenaan terpaksa ditunda.

"Kita membuat keputusan liga ini akan ditukarkan kepada tarikh baru selepas mendapat lampu hijau dari KPM dan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya dalam sidang media di ibu pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Saingan yang dijadualkan bermula 25 Mac hingga 19 April membabitkan kategori lelaki itu menarik penyertaan 24 pasukan bagi Divisyen 1 dan 2.

Keputusan itu juga selaras dengan ketetapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa segala acara berkaitan sukan ditunda sehingga 30 April 2020.

"Buat masa sekarang tiada tarikh tetap bila kejohanan ini akan diadakan. Bagaimanapun, kejohanan ini bukannya dibatalkan, kita berharap wabak ini beransur reda secepat mungkin kerana bukan saja hoki malah ia membabitkan sukan lain juga.

"Penundaan ini memang tidak merugikan apa-apa, cuma kita akan bergerak perlahan dalam mencari bakat baru. Tambahan pula tahun ini ada Sukan Malaysia (SUKMA)," katanya.

Anil Jeet menasihatkan semua persatuan hoki negeri dan daerah agak mengurangkan aktiviti luar.

"Sebaik saja mendapat lampu hijau dari agensi kerajaan atau badan berkaitan kita akan terus duduk berbincang untuk memulakan saingan liga ini. Saya tidak mahu kejohanan ini ditunda dalam tempoh lama," katanya yang juga Presiden Persatuan Hoki Sabah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 2:08 PM