MEGAT (kiri) mempengerusikan mesyuarat hari ini. FOTO Ihsan KLHA
MEGAT (kiri) mempengerusikan mesyuarat hari ini. FOTO Ihsan KLHA
BERNAMA

PERSATUAN Hoki Kuala Lumpur (KLHA) merancang untuk menganjurkan Liga Hoki Kuala Lumpur 2020 dan Karnival Liga Veteran, selaras dengan langkah pemulihan pandemik Covid-19.

Presidennya Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, KLHA menjangka lebih 40 pasukan akan menyertai liga tahunan yang dijadual berlangsung mulai September hingga Disember ini.

"Sebanyak tiga divisyen akan dianjurkan, iaitu Divisyen Perdana, 1 dan 2, dan kami bercadang untuk menjemput pasukan-pasukan terkenal seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank, selain pasukan dan kelab hoki di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain.

"Daripada penganjuran liga ini, kita mahu memastikan usaha mencungkil bakat diteruskan. Pemain dan kelab di sini terus berdaya saing serta wabak Covid-19 tidak melenyapkan sukan hoki.

"Bagaimanapun, semua pihak perlu mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan penganjuran liga itu hari ini.

Beliau berkata Stadium Hoki Kuala Lumpur di Jalan Pantai Baharu, yang menempatkan pejabat KLHA, dipilih sebagai venue utama bagi liga yang mula dianjurkan sejak 80-an itu, manakala Stadium Hoki Tun Razak di Jalan Tuanku Abdul Halim dan Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil sebagai venue tambahan.

Sementara itu, karnival veteran selama sehari yang akan menggunakan format enam sebelah melibatkan dua kategori umur iaitu 40-47 tahun dan 48 tahun ke atas dijadual dilancarkan pada 31 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 9:01 PM