Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini bersetuju untuk menganjurkan dua kejohanan iaitu Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 yang akan diadakan pada hujung tahun ini.

Jawatankuasa Pertandingan MHC memaklumkan Piala Tun Abdul Razak 2021 akan diadakan dari 10 November hingga 20 November 2021 manakala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021, Lelaki dan Wanita akan berlangsung dari 26 November ini hingga 2 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, dua kejohanan berkenaan akan dilangsungkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mengambil kira setiap garis panduan yang diberikan untuk memastikan kejohanan dilangsungkan dengan selamat.

"Penganjuran Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB MJHL 2021 akan diteruskan di mana MHC dan jawatankuasa saya melakukan perancangan serta menyusun jadual dengan sebaiknya selain mengambil kira ruang masa yang cukup untuk setiap pemain mendapatkan suntikan vaksin.

"Pada 25 Julai ini kami akan mengadakan perbincangan yang lebih terperinci untuk menetapkan venue bagi kedua-dua kejohanan, SOP yang perlu dipatuhi serta langkah yang terbaik untuk semua pihak kerana penganjuran kejohanan TNB MJHL 2021 khususnya akan membabitkan remaja yang masih bersekolah," katanya.

Anil turut memaklumkan terdapat pertukaran syarat dari segi umur membabitkan penyertaan pemain dalam saingan TNB MJHL yang mana ia akan dibuka kepada pemain di bawa umur 21 tahun.

"Sebelum ini saingan TNB MJHL dibuka kepada pemain di bawah 19 tahun tapi tahun ini kami menaikkan had umur kepada 21 tahun ke bawah.

"Kami juga ada menerima cadangan untuk menaikkan sedikit lagi had umur penyertaan pemain bagi TNB MJHL 2021 namun ia masih dalam perbincangan tetapi apa yang pasti kejohanan akan dianjurkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan," katanya.

Penganjuran TNB MJHL 2021 akan menyaksikan dua divisyen dipertandingkan bagi kategori lelaki sementara wanita kekal dengan satu divisyen.

Setakat ini, MHC sudah menerima 10 penyertaan daripada divisyen satu dan 14 penyertaan pasukan divisyen dua bagi kategori lelaki, manakala bagi kategori wanita pula sebanyak 14 pasukan telah menghantar penyertaan.Untuk rekod, ekoran penularan wabak pandemik Covid-19, Kejohanan TNB MJHL pada tahun lalu dibatalkan.

Sementara Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 pula dilangsungkan dengan jayanya tanpa menyebabkan sebarang jangkitan Covid-19 dikalangan pemain dan pegawai ataupun menyebabkan wujudnya sebarang kluster membabitkan kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 3:21 PM