SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Hoki Selangor, K Ravichandran (dua dari kiri) ketika sidang media pelancaran QNET Liga Hoki Selangor 2018. FOTO E-mel
SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Hoki Selangor, K Ravichandran (dua dari kiri) ketika sidang media pelancaran QNET Liga Hoki Selangor 2018. FOTO E-mel
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Liga Hoki Selangor (SHL) terus mengukuhkan namanya selaku liga negeri nombor satu di negara ini apabila berjaya menarik penyertaan 46 pasukan bagi 2018.

Berbanding dua lagi liga yang aktif - Liga Hoki Kuala Lumpur dan Liga Hoki Pulau Pinang - SHL yang mendapat penajaan daripada syarikat jualan langsung global QNET itu kekal paling mendapat tempat di kalangan penggiat hoki walaupun jumlah penyertaan pasukan sedikit menurun untuk tahun ini.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Selangor, K Ravichandran penurunan angka itu mungkin disebabkan daripada tindakan pihaknya menaikkan caj yuran bagi setiap kategori untuk menampung kos penganjuran yang semakin meningkat.

CEO QNET, Trevor Kuna (tengah) ketika sidang media pelancaran QNET Liga Hoki Selangor 2018 di sini, baru-baru ini.
CEO QNET, Trevor Kuna (tengah) ketika sidang media pelancaran QNET Liga Hoki Selangor 2018 di sini, baru-baru ini.

"Faktor yuran sememangnya menjadi punca utama beberapa pasukan tidak mengambil bahagian kali ini sekali gus berkurangan berbanding 69 pasukan pada edisi lalu.

"Kita naikkan yuran sebanyak RM 900 untuk menjadikan keseluruhan RM 1,600 bagi setiap pasukan musim ini selepas pada tahun lalu perbelanjaan liga melebihi daripada bajet asal ," katanya pada sidang media pelancaran pertandingan SHL 2018.

Selain itu, Ravi berkata keputusan untuk tidak mempertandingkan kategori Pusat Latihan Daerah (PLD) bagi kali ini juga menjadi antara punca lain SHL kekurangan pasukan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif QNET, Trevor Kuna berkata pihaknya gembira untuk sekali lagi meneruskan kerjasama dengan SHL.

"QNET sudah menaja dan bergiat aktif dalam bidang sukan lebih 10 tahun,  daripada GP2 Asia hingga ke Formula Satu (F1), Manchester City dan juga bersama Konfederasi Bolasepak Afrika," katanya.

Untuk SHL 2018 yang akan membuka tirainya minggu ini menyaksikan sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Divisyen 1, Divisyen 2, Veteran, lelaki B-17 dan Wanita B-17.

Juara bertahan, MBPJ akan turun mempertahankan gelaran Divisyen 1 dengan akan dicabar sembilan pasukan lain termasuk finalis musim lalu iaitu pasukan Headshot Family yang terdiri daripada bekas pemain Projek 2013.

Bagi Divisyen 2 pula sebanyak 14 pasukan akan merebut kejuaraan antaranya OFA KLS-NR, Puchong Titan HC dan PAUiTM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 7:04 PM