ANIL Jeet Singh.
ANIL Jeet Singh.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hampir lima bulan sepi tanpa sebarang pertandingan kompetitif akhirnya sukan hoki negara kembali rancak apabila saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 bakal membuka tirai bermula 26 November depan.

Lebih menarik lagi, walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19, penyertaan cukup menggalakkan apabila 25 pasukan sudah mengesahkan akan menyertai kejohanan itu yang berlangsung hampir dua bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata, kejohanan akan dilangsungkan dalam dua divisyen iaitu lapan pasukan dalam divisyen satu manakala 17 lagi pasukan bersaing dalam divisyen dua.

Beliau berkata, pecahan jumlah pasukan yang akan beraksi di Divisyen Satu serta Divisyen Dua sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM dalam satu mesyuarat sebelum ini.

"Jawatankuasanya juga melantik Vinod Anand daripada Kuala Lumpur sebagai Pengarah Kejohanan yang akan dibantu dua Penolong Pengarah Kejohanan. "Sementara itu Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 yang akan berlangsung pada 10 November hingga 20 November depan hanya akan diketahui jumlah penyertaan negeri selepas 11 Oktober ini yang juga tarikh tutup bagi negeri untuk mengesahkan penyertaan mereka," katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, Anil Jeet berkata, bagi memberikan penghormatan kepada pegawai wanita yang terbabit dalam sukan hoki, buat kali pertama, KHM menyerahkan tugas selaku Pengarah Kejohanan bagi Piala Tun Abdul Razak 2021 kepada pegawai wanita.

"KHM melantik Puan Anant Kaur daripada Selangor yang akan turut dibantu dua Penolong Pengarah Kejohanan," katanya.

Mengikut rekod, penganjuran liga hoki remaja amat penting memandangkan Malaysia diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung pada 2023.

Ini bermakna, Malaysia kali keempat diberikan tanggungjawab menganjurkan kejohanan terbabit selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2009 bersama Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 2:45 PM