KETUA pasukan Malaysian Tigers, Marhan. -FOTO Ihsan MHC
KETUA pasukan Malaysian Tigers, Marhan. -FOTO Ihsan MHC
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bukan sekadar mencari tiket ke Piala Dunia 2023, malah skuad hoki senior negara mahu muncul juara buat kali pertama di pentas Piala Asia yang berlangsung dari 23 Mei sehingga 1 Jun ini di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

Untuk itu, ketua pasukan Malaysian Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil berkata, dia serta barisan pemain lain berpegang kepada prinsip bermain sebagai sebuah pasukan dan menerapkan apa yang sudah dipraktikkan ketika sesi latihan bagi memastikan misi mereka tercapai.

"Sasaran yang diletakkan kepada kami adalah untuk layak ke Piala Dunia, namun untuk sasaran persendirian pasukan adalah kami ingin muncul selaku juara Piala Asia 2022.

"Saya sering ingatkan kepada rakan sepasukan untuk mengambil setiap tekanan yang ada sebagai sesuatu yang positif dan menjadikan tekanan itu sebagai kekuatan juga keyakinan untuk bermain.

"Setiap pemain sudah mengetahui kelebihan dan kekuatan yang dimiliki dan kini apa yang perlu mereka lakukan adalah menterjemahkannya di dalam perlawanan," kata Marhan yang sudah melakukan 271 penampilan antarabangsa.

Untuk rekod, sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah naib juara pada 2017 yang juga edisi terakhir kejohanan itu apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.

Empat slot automatik ke Piala Dunia 2023 bagi benua Asia diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan satu slot sudah diisi oleh India selaku tuan rumah Piala Dunia 2023.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea dan Oman sementara Kumpulan A diisi oleh India, Indonesia, Jepun dan Pakistan.

Skuad senior negara akan memulakan aksi pertama mereka pada 23 Mei bertemu Oman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 2:56 PM