SKUAD hoki 5s lelaki negara berjaya mara ke Piala Dunia. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Asia
SKUAD hoki 5s lelaki negara berjaya mara ke Piala Dunia. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Asia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan melangkah ke Piala Dunia Hoki 5s Lelaki 2024 yang akan berlangsung di Muscat, Oman pada 24 hingga 31 Januari tahun depan selepas tuan rumah Piala Dunia 2024, Oman, turut berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Kejohanan Hoki 5's Piala Asia 2023 di Salalah, Oman.

Ia sekali gus menyaksikan Malaysia, India dan Pakistan layak ke Kejohanan Piala Dunia Hoki 5s Lelaki selaku wakil daripada Asia sementara Oman menerusi tiket selaku tuan rumah.

Skuad Negara akan beraksi di perlawanan penentuan tempat ke-3 dan ke-4 selepas aksi separuh akhir yang menemukan Malaysia dengan India sebenar tadi tamat dengan skuad negara tewas 4-10.

Menanti Malaysia di perlawanan penentuan itu ialah tuan rumah, Oman yang tewas 3-7 kepada Pakistan dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Penentuan tempat ke-3 dan ke-4 akan berlangsung jam 9:00 malam ini.

Aksi separuh akhir hari ini menyaksikan Malaysia dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan lawan pada minit ke-2 menerusi gol Maninder Singh.

Bagaimanapun, Ismail Abu kembali mengimbangi perlawanan dengan jaringan penyamaan dua minit kemudian.

Malaysia berada di hadapan seketika pada minit ke-7 selepas Mohamad Akhimullah Anuar Esok menjaringkan gol padang, namun India kembali mengikat kedudukan menerusi jaringan Mohammed Raheel.

Minit ke-13, India menjaringkan satu lagi gol hasil gerakan padang Pawan Rajbhar dan kedudukan 3-2 menutup aksi separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Mohammed Raheel menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu seminit selepas perlawanan bermula, namun Malaysia bangkit membalas dengan dua gol pantas berturut-turut pada minit ke-19 menerusi Akhimullah dan Muhamad Nazrey Din.

Bagaimanapun semuanya serba tidak menjadi buat Malaysia selepas jaringan penyamaan 4-4 terhasil apabila membenarkan India menjaringkan enam gol pada sembilan minit terakhir perlawanan bermula gol Sukhvinder pada minit ke-21 diikuti Dipsan Tirkey (m-22), Jugraj Singh (m-23), Mohammed Raheel (m-24 dan 28) serta gol pelengkap kemenangan India 10-4 pada minit ke-29 oleh Gurjot Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 6:12 PM