PEMAIN hoki negara cuba menyekat kemaraan pemain Korea. FOTO MHC
PEMAIN hoki negara cuba menyekat kemaraan pemain Korea. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki senior negara mencetuskan rasa cemas sebelum melakar kemenangan 5-4 ke atas Korea Selatan pada aksi sengit perlawanan kedua Kumpulan B, Piala Asia di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Arul Selvaraj layak beraksi di kelompok Super 4 yang membabitkan empat pasukan terbaik dengan format liga sepusingan.

Pada perlawanan hari ini, skuad negara mendahului dua gol menerusi jaringan padang Norsyafiq Sumantri minit ke-11 dan pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim minit ke-17.

Yang Jihun menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-25 untuk Korea merapatkan jurang tetapi dua minit kemudian Norsyafiq menjaringkan gol padang untuk kedudukan semasa Malaysia mendahului 3-1.

Bersambung babak kedua, Mohamad Ashran Hamsani mengukuhkan kedudukan skuad negara menerusi pukulan sudut penalti minit ke-32 namun Korea mencetuskan cemas selepas Jang Jonghyun menyempurnakan penalti stroke minit ke-34 dan Kim Sunghyun menjaringkan gol padang minit ke-40 untuk kedudukan semasa Malaysia mendahului 4-3.

Razie melegakan kem skuad negara apabila tenang menolak masuk bola menerusi pukulan sudut penalti minit ke-52 tetapi Yang Jihun kembali merapatkan jurang minit ke-56 sebelum kedudukan 5-4 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Malaysian Tigers mengumpul enam mata selepas turut menewaskan Oman 7-0 pada perlawnan pertama, semalam.

Skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk muncul juara Kumpulan B apabila bertemu Bangladesh pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Khamis ini.

Malaysian Tigers kini hanya menunggu keputusan perlawanan membabitkan India bertemu Jepun yang bersaing dalam Kumpulan A dan sekiranya pasukan itu turut layak ke kelompok Super 4, ini bermakna tiga pasukan lain secara automatik layak ke Piala Dunia 2023.

India sudah pun layak menerusi atas tiket selaku tuan rumah kejohanan berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 8:13 PM