BARISAN pemain hoki negara. -FOTO MHC
BARISAN pemain hoki negara. -FOTO MHC
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita 5 sebelah melakar sejarah tersendiri apabila bangkit daripada mangsa belasahan untuk layak ke Piala Dunia (W) Hoki 5's di Oman Januari tahun hadapan.

Skuad wanita meraih tempat berkenaan selepas mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Indonesia menerusi penentuan shoot-out, selepas terikat 4-4 dalam tempoh 30 minit permainan.

Ketua jurulatih, Nabil Fiqri Mohd Noor berkata beliau berbangga dengan prestasi pemain apabila bangkit daripada menjadi pasukan belasan untuk menang dalam aksi penentuan tempat ketiga, keempat menentang Indonesia.

"Persembahan yang ditampilkan bukan seperti yang dirancang . Namun pemain menunjukkan keinginan yg tinggi pada 10 minit terakhir untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan shoot out seterusnya memperolehi kemenangan.

"Objektif pada kejohanan tercapai, namun untuk menghadapi kejohanan Piala Dunia, persiapan rapi perlu dilakukan terutama dari segi aspek kecergasan dan ketahanan mental," katanya.

Skuad negara sebelum ini tewas kepada India, Thailand dan Jepun selain dibelasah kali kedua oleh India di separuh akhir.

Skuad negara akan mengiringi dua finalis, India dan Thailand ke pentas Piala Dunia Hoki 5's yang julung kali dianjurkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Januari tahun depan.

India muncul juara edisi pertama Piala Asia Hoki 5's selepas menewaskan Thailand 7-2 dalam aksi final.

Perjuangan skuad wanita negara akan diteruskan pasukan lelaki yang akan membuka cabaran mereka di di Salalah, Oman, hari ini.

Piala Dunia Hoki 5's akan berlangsung di Muscat, Oman Januari tahun hadapan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 1:09 PM