PEMAIN negara cuba melepasi kawalan dua pemain  Western Australia di Stadium Hoki Nasional , Bukit Jalil
PEMAIN negara cuba melepasi kawalan dua pemain Western Australia di Stadium Hoki Nasional , Bukit Jalil
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bagi memantapkan skuad hoki remaja lelaki negara, siri persahabatan Eropah adalah medan terbaik untuk menguji kekuatan namun dua negara Belanda dan Belgium masih belum memberi jawapan mengenai hasrat pasukan bimbingan Amin Rahim.

Menurut Amin, dua kuasa hoki dunia itu masih membisu mengenai pelawaan Malaysia, yang akan mengadakan siri jelajah Eropah bulan depan.

"Selain Jerman yang sudah bersetuju mengadakan dua perlawanan dengan skuad remaja negara, kita masih menunggu jawapan daripada Belgium dan Belanda," katanya.

Ujar Amin yang juga bekas pemain hoki negara, sama ada dua pasukan berkenaan bersetuju atau tidak mereka tetap akan meneruskan perlawanan persahabatan jelajah Eropah sambil menunggu jawapan pasukan lain.

"Kita boleh minta pasukan Eropah lain seperti Perancis dan Great Britain. Team GB walaupun tidak layak ke Piala Dunia, mereka tetap memiliki pasukan yang bagus dan menjadi ujian terbaik untuk pemain kita," kata Amin, sambil menyuarakan keyakinan bahawa pasukan Great Britain sentiasa bersedia untuk perlawanan persahabatan dengan skuad negara.

Siri jelajah Eropah itu dirancang sebagai persediaan buat skuad remaja lelaki negara menghadapi saingan Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur, Disember depan.

Selepas jelajah Eropah, Young Tigers akan menghadapi saingan Piala Sultan Johor (SOJC), pada Oktober.

Ketika ini, pemain muda negara sedang menghadapi empat siri perlawanan persahabatan menentang kelab Western Australia yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 3:26 PM