SKUAD hoki negara dan Perancis bergambar selepas tamat perlawanan. FOTO MHC
SKUAD hoki negara dan Perancis bergambar selepas tamat perlawanan. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Walaupun tewas dalam tiga aksi persahabatan di siri jelajah Eropah setakat ini, ia tidak mengundang resah pengendali skuad hoki remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim menjelang kejohanan hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur pada 5 hingga 16 Disember depan.

Sebaliknya, bekas pakar pukulan sudut penalti Malaysian Tigers itu berkata, ketiga-tiga perlawanan itu membuktikan skuad muda negara mampu bersaing dengan pasukan di Eropah.

Skuad negara tewas 2-8 pada aksi persahabatan pertama bertemu Jerman di Dusseldorf HC sebelum perlawanan kedua bertemu lawan sama terpaksa dibatalkan berikutan hujan lebat.

Mereka kemudian turun pada dua aksi persahabatan bertemu Perancis yang menyaksikan skuad negara tewas 0-1 serta 1-2, namun Amin percaya anak buahnya mempelajari sesuatu daripada ketiga-tiga perlawanan itu.

"Jerman lebih baik daripada segi struktur pasukan, pemahaman taktikal serta kemahiran individu. Pengalaman beraksi dengan pasukan handalan Eropah akan membantu kemajuan individu dan pasukan.

"Pada dua perlawanan dengan Perancis, kita tewas kedua-dua perlawanan. Namun peningkatan yang baik ditunjukkan oleh pemain selepas perlawanan dengan Jerman.

"Kita juga mencipta beberapa peluang menjaringkan gol, namun jentera serangan gagal menyudahkan peluang yang sedia ada. Kelebihan bermain secara fizikal yang ditunjukkan oleh Perancis nyata memberi sedikit kelebihan kepada mereka," katanya.

Bagaimanapun jelas Amin, barisan pemainnya berjaya memberi saingan sengit sepanjang dua perlawanan dengan Perancis yang berlangsung di Le CREPS High Performance Centre itu.

"Saya rasa keyakinan yang ditunjukkan oleh setiap pemain memberi petanda positif kepada mereka serta pasukan bahawa kita mampu bersaing dengan gergasi Eropah," katanya.

Skuad negara akan turun pada dua lagi perlawanan persahabatan bertemu Britain pada 5 September ini di Bisham Abbey National Sports Centre sebelum pulang ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 2:12 PM