FARIDZUL (dua dari kanan) ketika beraksi Piala Asia Dalam Dewan tahun lalu. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
FARIDZUL (dua dari kanan) ketika beraksi Piala Asia Dalam Dewan tahun lalu. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Berlatih di bulan Ramadan untuk persiapan ke Sukan Sea Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei depan bukanlah sesuatu yang menyukarkan bagi pemain skuad hoki dalam dewan negara, Faridzul Afiq Mohd.

Ini kerana, dia pernah melalui pengalaman lebih sukar berpuasa sehingga 18 jam di luar negara sambil perlu menjalani latihan serta beraksi pada perlawanan persahabatan ketika bersama skuad hoki remaja negara atau lebih dikenali skuad Projek 2013.

"Saya masih ingat lagi kira-kira dua minggu kami berpuasa di luar negara dan pulang ke Malaysia sehari sebelum sambutan Aidilfitri hanya untuk persiapan ke Piala Dunia Remaja 2013.

"Ia memang sangat mencabar ketika itu kerana kami perlu berpuasa antara 17 hingga 18 jam sehari. Masa itu kami beraksi di siri jelajah Eropah di Poland, Belgium dan UK (United Kingdom).

"Jadi bagi saya, berlatih di bulan Ramadan tidaklah terlalu asing dan saya boleh sesuaikan diri," kata pemain yang lebih mesra di sapa Apek itu.

Hasil kerja keras skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ketika itu, barisan pemain muda negara melakar sejarah menamatkan saingan di kedudukan keempat terbaik Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India sekali gus pencapaian terbaik Malaysia setakat ini.

Faridzul yang turut membantu skuad hoki dalam dewan negara melakar sejarah muncul juara buat kali pertama dalam saingan Hoki Dalam Dewan Piala Asia tahun lalu, kini menggalas tugas untuk memastikan Malaysia memperoleh pingat emas di Sukan Sea pula.

"Untuk ketika ini, kami berlatih di sebelah malam. Soal beribadat tiada kekangan kerana kami boleh melakukan solat tarawih selepas berlatih.

"Walaupun berstatus juara Asia, kami juga perlu berwaspada dengan pasukan lain terutama Thailand dan Indonesia yang saya difahamkan melakukan persiapan lebih rali untuk ke Sukan Sea. Jadi kami juga harus lakukan persiapan rapi," katanya.

Faridzul serta rakan sepasukannya bakal merasai pengalaman berpuasa di luar negara sekali lagi apabila skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara sudah berlepas ke Australia untuk mengharungi siri jelajah perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Sea Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 1:43 PM