PASUKAN Malaysian Universiti idam kejuaraan TNBMHL.
PASUKAN Malaysian Universiti idam kejuaraan TNBMHL.
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Malaysian University berhasrat meneruskan prestasi cemerlang pasukan hoki mereka dengan menyasarkan kejuaraan pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) Wanita 2024 bermula 1 Februari hingga 9 Mac depan.

Pasukan terdiri daripada 22 pemain itu mula mencipta nama selepas meraih tempat keempat Piala Vivian May Soars pada 2019 dan seterusnya berjaya mempertahankan kejuaraan di tempat pertama tiga kali berturut-turut pada tahun berikutnya.

Pada masa sama, pasukan di bawah kendalian jurulatih Lailin Abu Hassan ini juga mengekalkan kedudukan di tempat kedua untuk dua tahun berturut-turut dalam TNBMHL serta muncul naib johan di Piala Vivian May Soars tahun lalu.

Menurut jurucakap pasukan Malaysian University, beberapa pemain masih dikekalkan sejak 2019, tetapi terdapat penambahan pemain baharu yang turut dipilih bagi menggalas cabaran pada kejohanan tahun ini.

"Pemain dinilai melalui prestasi semasa kejohanan dalaman Institut Pengajian Tinggi (IPT), kejohanan kebangsaan dan prestasi semasa pemain bersama pasukan kebangsaan.

"Latihan awal juga sudah bermula sejak Oktober manakala latihan bersama pasukan pula bermula sejak November tahun lalu," katanya.

Kejohanan anjuran Konfederasi Hoki Malaysia itu melibatkan penyertaan 10 pasukan iaitu Mutiara Impian-MSSPP- PSHA, MSP-PHP, Negeri Sembilan dan PDRM Blue Warriors selain Kuala Lumpur City, CS Mustang HT, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), Lioning Women's Hockey Team dan Kedah yang bakal bertanding di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, pencapaian cemerlang itu turut menjadikan Malaysian University antara pasukan berkaliber untuk menjuarai salah satu piala tambahan (Sumbangsih atau Vivian May Soars) tahun ini.

Pasukan berpusat di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini perlu menggalas cabaran dan seruan seksyen sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mengekalkan prestasi cemerlang pasukan hoki berkenaan.

Untuk rekod, sebelum ini mereka dikenali sebagai PKS Uniten pada 2019 dan 2020, PKS Uniten - KPT pada 2021, KPT - Uniten Thunderbolts pada 2022 dan KPT Uniten Thunder sebelum menukar nama kepada Malaysian University.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 6:09 PM