SKUAD hoki yang akan beraksi di Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India. FOTO MHC
SKUAD hoki yang akan beraksi di Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki Piala Dunia Remaja dijangka akan mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan sebaik tiba di Bhubaneswar, India minggu depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Razak, pasukan kendalian Wallace Tan itu mendapat banyak jemputan terutama daripada pasukan Eropah untuk mengadakan aksi pemanas badan sebelum memulakan perlawanan sulung kejohanan berkenaan.

"Pasukan akan berlepas 16 atau 17 November dan bakal menjalani tiga aksi pemanas badan sebelum perlawanan pertama. Banyak pasukan meminta kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk melihat kekuatan pasukan kita bila sampai di sana," katanya.

Skuad hoki remaja negara mempunyai tempoh hampir seminggu sebelum memulakan perlawanan pertama menentang Chile pada 24 November dan ruang yang ada mampu untuk mereka melakukan beberapa aksi pemanas badan.

"Memang banyak juga pasukan yang ingin mengadakan aksi pemanas badan dengan kita tapi tidak boleh menerima semua pelawaan. Antara negara berkenaan ialah Jerman, Belgium, Belanda, Sepanyol dan Perancis.

"Bagaimanapun, saya serahkan kepada jurulatih untuk membuat memilih siapa pasukan yang dirasakan sesuai untuk kita bertemu sebelum kejohanan bermula kerana tidak mahu pasukan terbabit dengan masalah kecederaan dan beberapa perkara negatif.

"Memang buat masa sekarang kita belum memutuskannya lagi namun setidak-tidaknya ia satu petanda yang bagus apabila ada pasukan yang ingin mengadakan aksi pemanas badan dengan kita," kata Ahmad Najmi.

Sementara itu, Wallace berkata aksi persahabatan berkenaan bukanlah seperti perlawanan biasa dengan kedua-dua pasukan akan menampilkan permainan yang bersungguh-sungguh.

"Apa yang penting perlawanan ini lebih kepada untuk membiasakan diri dengan keadaan padang, cuaca dan masa. Kita cuma berharap pemain dapat menyesuaikan diri. Memang akan ada perjanjian antara pasukan yang kita akan berentap nanti untuk mengelak sebarang keadaan yang tidak diingini.

"Selalunya perlawanan seperti ini kedua-dua pasukan tidak akan mempamerkan kesemua taktikal yang bakal mereka gunakan nanti selain daripada ingin mengelak daripada berlakunya sebarang kecederaan," katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Belgium, Afrika Selatan dan Chile di kejohanan yang berlangsung pada 24 November hingga 5 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 1:42 PM