TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker bersama Presiden Konfenderasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subhan Kamal beramah mesra dengan sebahagian pemain skuad hoki remaja yang akan beraksi di Piala Dunia Remaja di India. FOTO Aizuddin Saad
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker bersama Presiden Konfenderasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subhan Kamal beramah mesra dengan sebahagian pemain skuad hoki remaja yang akan beraksi di Piala Dunia Remaja di India. FOTO Aizuddin Saad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seramai empat pemain skuad hoki remaja negara berada dalam radar jurulatih skuad kebangsaan, Arul Selvaraj yang mungkin akan diserapkan ke dalam pasukan senior tahun depan sekiranya mereka menyerlah di kejohanan hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Bhubaneswar India 2021.

Bagaimanapun Arul berkata, beberapa syarat perlu dipenuhi oleh pemain berkenaan sekiranya mahu beraksi bersama skuad kebangsaan.

Beliau yang ditemui mengakui skuad Wallace Tan itu mempunyai ramai pemain berbakat tapi apa yang lebih penting adalah berdisiplin.

"Kita ada ramai pemain berbakat dan memang saya nampak beberapa pemain yang boleh saya pilih untuk skuad kebangsaan tahun depan.

"Tapi bagi saya kalau ada bakat tapi tak ada disiplin tiada gunanya. Di Malaysia ini kita ada ramai pemain yang bagus peringkat remaja tapi apabila beraksi di peringkat lebih tinggi prestasi mereka sudah tak bagus," katanya.

Justeru Arul berharap, kesemua pemain negara yang akan beraksi dari 24 hingga 5 Disember di India akan mempamerkan aksi terbaik dan buktikan mereka adalah yang terbaik.

Kejohanan berprestij itu menyaksikan pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Belgium, Chile dan Afrika Selatan.

Malaysia akan membuka tirai pertandingan melayan Chile pada 24 November ini jam 2.30 petang waktu Malaysia sebelum turun bertemu Belgium dua hari kemudian.

Skuad bimbingan Wallace Tan seterusnya akan menentang Afrika Selatan pada 27 November, perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 1:32 PM