Wallace Tan (tengah) memberi arahan kepada pemainnya ketika Siri Jelajah United Kingdom baru-baru ini. FOTO MHC
Wallace Tan (tengah) memberi arahan kepada pemainnya ketika Siri Jelajah United Kingdom baru-baru ini. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Aksi pemanas badan bertemu Argentina sebelum ini diharap dapat memberi gambaran kepada skuad hoki remaja negara apabila bertemu Chile pada perlawanan pertama Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India, esok.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan seri 1-1 sebelum skuad negara tewas 1-5 kepada Belanda dalam aksi pemanas badan kedua, semalam.

Pengurus pasukan, I Vikneswaran berkata, meskipun corak permainan antara Argentina dengan Chile tidak sama, sekurang-kurangnya skuad negara dapat memahami gaya permainan kedua-dua pasukan negara dari Amerika Selatan itu.

"Saya boleh katakan corak permainan mereka tidak sama tetapi hampir sama. Ia sekurang-kurangnya memberi pengalaman kepada barisan pemain negara.

"Dengan pengalaman yang diperolehi daripada dua perlawanan pemanas badan itu, saya yakin kami akan dapat melakukan persediaan dengan lebih terperinci," katanya.

Vikneswaran juga percaya ketua jurulatih skuad negara, Wallace Tan sudah mempunyai percaturan bagaimana untuk berdepan Chile dalam usaha untuk meraih tiga mata penuh.

"Dengan semua maklumat yang diperolehi, Wallace pasti akan membuat perancangan rapi mengenai apa yang perlu dilakukan pada perlawanan itu nanti.

"Bagi saya yang penting adalah untuk fokus setiap perlawanan terlebih dahulu dan fokus kami kini adalah menentang Chile," katanya.

Selepas bertemu Chile esok, skuad negara akan berdepan tugas getir menentang naib juara edisi 2016, Belgium sebelum mengakhiri aksi peringkat Kumpulan A bertemu Afrika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 1:06 PM