WALLACE ketika memberi arahan kepada pemain ketika aksi persahabatan di UK.
WALLACE ketika memberi arahan kepada pemain ketika aksi persahabatan di UK.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara terpaksa mengehadkan jumlah aksi perlawanan pemanas badan sebelum perlawanan pertama bertemu Chile di saingan Piala Dunia Remaja dekat Bhubaneswar, India, 24 November ini.

Ini kerana, skuad bimbingan Wallace Tan perlu melihat situasi semasa barisan pemain sebaik tiba di India selain tidak mahu berdepan masalah kecederaan pemain lagi.

Pengurus pasukan, I Vikneswaran berkata, ketika ini terdapat beberapa pemain sedang melalui proses pemulihan sebaik pulih daripada kecederaan dialami ketika siri Jelajah United Kingdom (UK) sebelum ini.

"Kami tak sanggup melihat pemain berdepan masalah kecederaan lagi. Ini perkara yang kami berikan keutamaan. Sebab itu selepas membuat segala pertimbangan, skuad negara mungkin akan hanya mengadakan maksimum dua perlawanan pemanas badan di India.

"Pasukan mana yang akan ditemui masih belum diputuskan lagi kerana kami perlu melihat situasi semasa barisan pemain negara ketika itu," katanya ketika dihubungi.

Jelas Vikneswaran, langkah berhati-hati itu diambil bagi membolehkan kesemua pemain skuad negara dapat beraksi pada tahap terbaik di Piala Dunia Remaja.

"Memang banyak pasukan utama yang mahu mengadakan perlawanan pemanas badan dengan skuad negara seperti Argentina, Jerman dan Belanda. Tapi seperti saya katakan tadi, keutamaan kami adalah kecergasan pemain menjelang aksi sebenar," katanya.

Pada saingan yang bermula 24 November sehingga 5 Disember itu, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Belgium, Afrika Selatan dan Chile.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 5:52 PM