PENGENDALI skuad remaja, Wallace Tan. FOTO MHC
PENGENDALI skuad remaja, Wallace Tan. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengendali skuad hoki Piala Dunia Remaja, Wallace Tan mengakui pemilihan pemain untuk beraksi di kejohanan berkenanaan di Bhubaneswar, India banyak bergantung kepada aksi yang ditampilkan di Siri Jelajah United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Menurutnya, dengan keadaan Covid-19 dan pemain terpaksa melakukan latihan sendiri di rumah sehingga September, aksi di UK membabitkan lapan perlawanan sangat penting buatnya sebelum mengumumkan skuad berkenaan semalam.

"Lapan perlawanan di UK sangat penting untuk tengok kebolehan pemain dan itu membantu pihak kejurulatihan membuat keputusan pemilihan pemain," katanya.

Ujar Wallace, saingan Kumpulan A yang membabitkan Malaysia boleh dikatakan sangat kuat dengan kehadiran negara seperti Afrika Selatan, Belgium dan Chile.

"Afrika Selatan misalnya mempunyai pemain yang beraksi di Olimpik, mereka sudah bersedia sejak April lalu. Chile juga perlu dipantau kerana mereka pernah menumpaskan gergasi Amerika Selatan, Argentina.

"Belgium pula menduduki tempat kedua pada edisi Piala Dunia Remaja sebelum ini, jadi kita perlu mengkaji latar belakang pasukan lawan dan perlu bersedia menghadapi mereka," katanya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Ahmad Najmi Razak, melalui perbincangan bersama barisan jurulatih meletakkan sasaran skuad remaja negara ketika ini adalah melepasi peringkat kumpulan terlebih dulu.

Seramai 18 pemain disenaraikan untuk membawa cabaran negara di kejohanan berkenaan dengan Akhimullah Anuar Esook dilantik sebagai ketua pasukan dan dua lagi pemain diletakkan dalam senarai simpanan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Belgium, Afrika Selatan dan Chile di kejohanan yang berlangsung pada 24 November hingga 5 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 2:13 PM