Wallace Tan (tengah) memberi arahan kepada pemainnya ketika Siri Jelajah United Kingdom. FOTO Ihsan MHC
Wallace Tan (tengah) memberi arahan kepada pemainnya ketika Siri Jelajah United Kingdom. FOTO Ihsan MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan remaja Belanda menjadi pilihan buat skuad hoki negara mengadakan perlawanan persahabatan sebelum tirai sebenar Piala Dunia Remaja di India bermula dari 24 November hingga 5 Disember ini.

Ia adalah perlawanan penting buat skuad bimbingan Wallace Tan untuk pemain menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan gelanggang.

Di tanya mengapa Belanda menjadi pilihan Wallace berkata, ia dipilih berdasarkan kesesuaian waktu kedua-dua negara.

"Kita sendiri pun tak tahu tawaran yang datang. Jadi setakat ini baru satu. Ada tawaran lain kita akan pertimbangkan.

"Kita perlu pilih bersesuaian dengan masa kita juga. Jadi mungkin perlawanan persahabatan itu akan berlangsung pada 22 November nanti dan perlawanan pertama kita akan bermula pada 24 November," katanya.

Pasukan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara 2016 Belgium, Chile dan Afrika Selatan.

Ia dilihat undian yang sukar dan untuk rekod ini adalah kali kedua, Malaysia diundi berada dalam satu kumpulan bersama Belgium selepas kali pertama pada Piala Dunia Hoki Remaja 2016.

Malaysia pada ketika itu menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dan terpaksa akur berada di kedudukan ke-11.

Justeru apa yang penting ketika ini adalah pemain perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan dan melepasi halangan peringkat kumpulan terlebih dahulu.

"Saya tak mahu pemain fikir terlalu banyak. Hadapi satu perlawanan demi satu terlebih dahulu dan itu yang penting.

"Jika boleh sasaran sekarang adalah lepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu dan kemudian kita fikir langkah seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:37 PM