KANADA meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir. -FOTO AFP
KANADA meraikan kejayaan mereka mara ke separuh akhir. -FOTO AFP
AFP

Arlington, Amerika Syarikat: Kanada mara ke separuh akhir Copa America menewaskan Venezuela 4-3 menerusi sepakan penalti selepas perlawanan sebenar berakhir dengan kedudukan 1-1.

Jacob Shaffelburg meletakkan Kanada di depan minit ke-13 tetapi Salomon Rondon menyamakan kedudukan pada minit ke-64 sebelum Kanada menang dalam penentuan sepakan penalti untuk mengesahkan pertemuan separuh akhir menentang juara dunia Argentina.

Kanada yang dikendalikan jurulatih Amerika Jesse Marsch, yang hanya mengambil alih pasukan itu pertengahan Mei, beraksi di Copa America buat kali pertama dan mempamerkan aksi menyerang yang berterusan dalam perlawanan yang membosankan itu.

Kedua-dua pasukan gagal menyempurnakan dua sepakan penalti ketika aksi penentuan itu, menjadikan kedudukan 3-3 selepas lima penalti setiap satu membawa persaingan ke babak penentuan 'sudden death'.

Penjaga gol Kanada, Max Crepeau, yang melakukan kesilapan besar untuk gol penyamaan Venezuela, menebus kesilapannya apabila dia menyelamatkan sepakan Wilke Angel.

Situasi itu menyediakan peluang buat Ismael Kone untuk dia menyempurnakan sepakan penalti untuk mencetuskan sambutan kemenangan di hadapan 51,080 penonton yang kebanyakannya menyokong Venezuela.

"Emosi semakin memuncak, saya sangat gembira untuk semua orang yang menyokong kami.

"Kami melakukan banyak kerja dan kini membuahkan hasil daripada kerja keras kami. Ini menakjubkan untuk berada di separuh akhir Copa America.

"Saya fikir semua orang perlu menyedari siapa Kanada sekarang ini dan pemain bola sepaknya patut dihormati," kata Crepeau yang melakukan dua penyelamatan dalam penentuan sepakan itu.

Kanada sebelum ini tewas kepada Argentina yang juga juara bertehan 0-2 dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 11:48 AM