MESSI kini bersama Argentina untuk mempertahan piala Copa America. -FOTO Reuters
MESSI kini bersama Argentina untuk mempertahan piala Copa America. -FOTO Reuters
Agensi

Paris: Lionel Messi berkata dia tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad Argentina untuk temasya Olimpik Paris kerana tidak lagi berada pada usia di mana dia boleh bermain dalam setiap kejohanan.

Messi, 36, yang juga penyerang pasukan Inter Miami itu kini sedang bersiap sedia untuk mempertahankan gelaran Copa America yang akan berlangsung dari 20 Jun hingga 14 Julai di Amerika Syarikat bersama pasukan Argentina.

Februari lalu, pengurus bawah 23 tahun, Javier Mascherano, menyatakan bahawa Messi, yang memenangi pingat emas bersama Argentina ketika temasya Olimpik Beijing 2008 dijemput untuk menyertai skuad Paris.

"Saya berbincang dengan Mascherano dan sebenarnya kami berdua memahami situasi ini.

"Sukar (untuk memikirkan Olimpik sekarang) kerana beraksi di Copa America ketika ini dan menyebabkan saya tidak bersama pasukan selama dua hingga tiga bulan berturut-turut.

"Saya perlu memilih dengan teliti kerana akan menyebabkan saya menjadi terlalu sibuk untuk dua kejohanan berturut-turut.

"Ia akan menjadi pengalaman yang indah sepanjang bermain bola sepak apabila dapat bermain di Olimpik dan U20 yang pasti tidak akan saya lupakan," katanya.

Acara bola sepak lelaki di Sukan Olimpik yang akan berlangsung pada Julai hingga Ogos ini membenarkan pasukan untuk menyenaraikan tiga pemain melebihi usia dalam skuad mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 6:17 PM