MESSI (kiri) ketika memenangi pingat emas Olimpik Beijing 2008.
MESSI (kiri) ketika memenangi pingat emas Olimpik Beijing 2008.

Buenos Aires: Lionel Messi tidak akan memburu pingat emas kedua bola sepak Olimpik pada temasya di Rio Ogos ini, menurut jurulatih Argentina Gerardo Martino semalam.

Martino berkata, beliau tidak mahu penyerang Barcelona itu, yang akan mengemudi Argentina pada Copa America di Amerika Syarikat Jun ini, keletihan selepas musim yang panjang.

Beliau boleh memilih tiga pemain lebih usia dalam skuad B-23 ke temasya Rio namun Messi, yang membantu Argentina meraih emas kedua Olimpik buat negaranya di Beijing pada 2008, tidak akan berada dalam senarai itu.

“Messi tidak akan ke Sukan Olimpik kerana banyak kejohanan membabitkan pasukan kebangsaan tahun ini,” kata Martino dengan kelayakan Piala Dunia turut berada dalam perancangannya.

“Kami ada Copa America, Sukan Olimpik dan empat perlawanan kelayakan,” ujarnya.

Messi mengemudi Argentina ke final Piala Dunia 2014 di Rio yang mana mereka kecundang 0-1 di tangan Jerman selepas masa tambahan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:21 AM