WEGHORST muncul wira selepas menjaringkan gol kemenangan Belanda. FOTO Reuters
WEGHORST muncul wira selepas menjaringkan gol kemenangan Belanda. FOTO Reuters
AFP

Dublin: Wout Weghorst memastikan Belanda berada di landasan terbaik untuk layak ke Euro 2024 apabila dia masuk sebagai pemain gantian sebelum menjaringkan gol kemenangan ketika mengalahkan Republik Ireland 2-1.

Pasukan bimbingan Ronald Koeman mengalami kejutan awal apabila sepakan penalti Adam Idah meletakkan Ireland di hadapan di Dublin dalam perlawanan Kumpulan B.

Bagaimanapun, pemain Liverpool, Cody Gakpo menjaringkan penalti tidak lama kemudian dan pelawat melengkapkan tiga mata hasil jaringan separuh masa kedua Weghorst.

Dia yang dipinjamkan ke kelab Jerman, Hoffenheim dari kelab Liga Perdana Inggeris, Burnley, membalas kepercayaan Koeman selepas dimasukkan pada separuh masa kedua.

Weghorst menjaringkan gol dalam kemenangan menentang Greece dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda merajuk walaupun pada mulanya diletakkan di bangku simpanan di Stadium Aviva.

Kemenangan ketiga daripada empat perlawanan dalam Kumpulan B mengangkat Belanda ke tempat kedua, enam mata di belakang pendahulu, Perancis.

Dua pasukan teratas akan layak ke Euro tahun depan di Jerman dan anak buah Koeman sedang mengawal nasib mereka sendiri.

Mereka mempunyai satu perlawanan di dalam tangan ke atas Greece yang berada di tempat ketiga dan berkongsi sembilan mata.

Tewas dalam empat daripada lima perlawanan, tuan rumah yang dibimnbing Stephen Kenny nampaknya hampir pasti akan terlepas tempat di Euro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 9:14 AM