MOHAMAD Faisal meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua untuk pasukannya. FOTO Bernama
MOHAMAD Faisal meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kedua untuk pasukannya. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Faisal Abdul Halim akui tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya selepas berjaya meledak gol pertama di depan penyokong sendiri ketika pasukannya menumpaskan UiTM FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak kelmarin.

Lebih manis jaringan itu hadir melalui tandukan cantik biarpun bekas pemain Pahang kelahiran Pulau Pinang itu hanya mempunyai ketinggian 1.58 meter.

Tambah menggembirakan pemain yang lebih mesra dipanggil 'Mickey' itu apabila dia mengubah gaya penampilannya dengan berkepala botak biarpun mendapat reaksi kurang senang daripada isterinya kerana sambutan Aidilfitri semakin hampir.

"Saya pun tak tahu kenapa saya gunting rambut sampai botak, Isteri saya tanya kenapa botak? Saya jelaskan untuk membuat sesuatu kepada pasukan TFC.

"Akhirnya saya berjaya menyumbat gol yang dinanti-nantikan, sebelum ini saya jaring gol pertama ketika bertemu Perak, namun apa yang lebih penting pasukan berjaya menambah tiga mata lagi," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Mengulas lanjut, pemain berusia 23 tahun itu akui belum puas dengan prestasi semasanya biarpun tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan sejak perlawanan pertama lagi.

"Sejujurnya saya belum berpuas hati dengan prestasi diri, setakat ini baharu jaringkan dua gol, jadi saya harapkan setiap perlawanan saya perlu lebih tajam untuk membantu pasukan melakar kemenangan, kombinasi pemain muda dan berpengalaman selain tonggak import diharap mampu menjadi lebih mantap," katanya.

Ketika diminta mengulas bertemu Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad ini, Faisal menuntut rakan sepasukannya berwaspada dengan ancaman lawan biarpun menang 3-1 pada aksi pusingan pertama.

"Selepas ini kami akan bertemu Selangor dan sudah tentu kami mahu meneruskan rentak kemenangan dan kami akan melakukan yang terbaik, kami perlu sekat penyerang utamanya, Ifedayo Olusegun daripada bergerak bebas.

"Kemenangan ketika aksi pusingan pertama bertemu The Red Giants bukan bermakna kami boleh membaca corak permainan lawan kerana setiap perlawanan adalah berbeza, tak semudah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 2:13 PM