DE Rossi bersama  Presiden Boca Juniors,   Daniel Angelici  di Buenos Aires, semalam. - FOTO Agensi
DE Rossi bersama Presiden Boca Juniors, Daniel Angelici di Buenos Aires, semalam. - FOTO Agensi
AFP

PEMAIN veteran Itali, Daniele De Rossi berkata, dia tidak sabar beraksi di Stadium Bombonera selepas diperkenalkan kepada penyokong oleh kelab baharunya, Boca Juniors.

Pemain tengah berusia 36 tahun itu mengikat kontrak setahun dengan gergasi Argentina itu selepas menamatkan karier 18 tahun bersama Roma musim lalu.

De Rossi diberi sambutan hangat di Stadium Bombonera dan diberikan jersi bernombor 16 sama seperti dipakainya di Roma.

"Jika anda cintakan bola sepak, sukakan suasana stadium, tiada siapa dapat menafikan pengalaman seperti ini,” katanya ketika ditanya sama ada dia ada mesej mahu disampaikan kepada pemain di Eropah.

Boca salah satu daripada kelab paling berjaya di Argentina malah di seluruh Amerika Selatan.

Mereka juara Argentina 33 kali ketinggalan di belakang musuh tradisi, River Palet 36 kali dan menjuarai Copa Libertadores enam kali, hanya kurang satu di belakang kelab senegara, Independiente.

"Cita-cita saya sama seperti Boca, menjuarai Libertadores dan liga. Apa yang saya dengar mereka mahu menjuarai semuanya,” kata De Rossi yang membantu Itali muncul juara Piala Dunia 2006 dengan 117 kap antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 9:06 AM