STADIUM Santiago Bernabeu. 
STADIUM Santiago Bernabeu. 
AFP

ASUNCION, Paraguay: Badan induk bola sepak Amerika Selatan, Conmebol mengesahkan aksi kedua final Copa Libertadores di antara dua kelab Argentina, River Plate dan Boca Juniors yang dua kali tertangguh akan berlangsung 9 Disember ini, di gelanggang Real Madrid, Santiago Bernabeu. 

Perlawanan yang asalnya dijadualkan pada minggu lalu di gelanggang River, Stadium Monumental di Buenos Aires, tetapi ditangguhkan apabila beberapa pemain Boca cedera selepas bas yang membawa mereka diserang.

Boca memohon Jawatankuasa Disiplin Bebas Conmebol supaya menganugerahkan trofi itu kepada mereka dan menggesa agar River digantung daripada kejohanan tetapi ia turut ditolak dalam satu mesyuarat, semalam.

Sebaliknya, Conmebol menghukum River dengan dua perlawanan berlangsung dalam keadaan tertutup “tetapi hanya bermula pada 2019” dalam kejohanan rasmi benua selain denda AS$400,000 dolar (RM1.67 juta).

Presiden Conmebol, Alejandro Dominguez dalam satu sidang media di sini berkata, peminat kedua-dua pasukan terpaksa bertandang ke Bernabeu, Sepanyol - sesuatu yang tiada dalam perancangan asal untuk perlawanan itu.

Sabtu lalu, beberapa pemain Boca mengalami luka disebabkan cermin bas yang pecah, selain mengalami masalah pernafasan selepas terhidu asap susulan serangan ke atas bas yang membawa mereka.

Pada aksi pertama final awal November lalu, kedua-dua seteru tetangga Buenos Aires itu mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi di gelanggang Boca, Arena Bombonera dalam aksi yang dianggap setaraf dengan Liga Juara-Juara di Eropah itu.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut menulis dalam laman Twitter: “Bersedia untuk menganjurkan final berkenaan” dan memberi jaminan keselamatan terhadap perlawanan berkenaan. 

Sebagai rekod, peminat pasukan luar dilarang untuk berada di stadium di Argentina sejak 2013, berikutan keganasan bola sepak yang menyaksikan lebih 300 orang terbunuh dalam tempoh 50 tahun, menurut satu kajian.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 12:30 PM