Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Hasrat Terengganu untuk meraih kejuaraan satu daripada tiga kategori dipertandingkan pada Kejohanan Sirkit Akhir Sepak Takraw Remaja Kebangsaan 2014 di Kompleks Sukan Paroi, baru-baru ini, tidak kesampaian apabila pasukan tewas kepada lawan masing-masing.

 Dalam kategori Bawah 21 tahun, Melaka menewaskan Terengganu, 2-0, manakala kategori Bawah 18 tahun, Selangor menang ke atas Terengganu, 2-1 dan pasukan itu terus gagal apabila tunduk kepada Negeri Sembilan, 2-0, bagi kategori Berpasukan.

Sebanyak 10 pasukan menyertai kejohanan berkenaan anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) dan Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Sembilan (USPTNS) serta Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PSTNS).

Penyelaras kejohanan Ahmad Afandy Baharin berkata, kejohanan itu adalah sebahagian program pembangunan sukan sepak takraw akar umbi dalam usaha mencungkil dan melahirkan pemain berpotensi untuk masa depan.

Katanya, semua pasukan yang bertanding mempamerkan prestasi membanggakan apabila saingan merebut kejuaraan amat sengit.

“Biarpun kejohanan ini tidak menawarkan hadiah wang tunai tetapi setiap pasukan berusaha keras untuk menang.

“Regu Terengganu yang pernah mendominasi kejohanan ini berjaya membawa ketiga-tiga pasukan mereka ke pentas final, namun nasib nyata tidak menyebelahi skuad berkenaan apabila tewas kepada Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan, dalam tiga kategori yang dipertandingkan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah MSNS Zahrah Meon menyifatkan penganjuran kejohanan itu adalah medan terbaik dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain sepak takraw berprestasi tinggi untuk negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 6:06 AM