PUTERI Nur Adillah Shik Azizir Rahman antara atlet Negeri Sembilan yang menyinar di SUKMA dua tahun lalu di Ipoh. FOTO NSTP
PUTERI Nur Adillah Shik Azizir Rahman antara atlet Negeri Sembilan yang menyinar di SUKMA dua tahun lalu di Ipoh. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


PENANGGUHAN penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 turut memberi kesan kepada persatuan sukan di Negeri Sembilan, apabila Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) terpaksa menyusun semula perancangan jadual latihan dan elaun mereka yang terbabit.

Pengarah MSNS, Datuk Sabudin Sani berkata, MSNS juga terpaksa menangguhkan seketika pembayaran elaun latihan yang membabitkan jurulatih dan atlet SUKMA selama tiga bulan bermula Mei ini.

Katanya, bagaimanapun elaun latihan itu akan diteruskan semula pembayarannya bermula Ogos sehingga bulan berikutnya.

"Kita (MSNS) sudah mendapat persetujuan daripada pihak atasan mengenai kedudukan jadual latihan dan elaun latihan membabitkan jurulatih dan atlet.

"Untuk empat bulan ini (Januari hingga April), kita (MSNS) akan bayar elaun mereka seperti biasa sebab itu sudah ada perjanjian dari awal, walaupun kita tahu tidak semua persatuan sukan menjalani latihan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Tetapi apabila SUKMA dianjakkan pada Mac tahun hadapan, kita perlu menyusun semula perancangan atlet dan latihan mereka.

"Kita tidak boleh teruskan (pembayaran elaun) sebab ia akan memberi kesan kepada pembelanjaan, tambahan pula pada Mei nanti akan ada sambutan Aidilfitri dan sebagainya, sudah tentu tiada latihan dijalankan.

"Nama pun elaun latihan..tidak ada latihan bagaimana hendak bagi (elaun) dan ia bergantung setakat mana MSNS yang mampu bayar," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, baru-baru ini memutuskan penundaan temasya SUKMA Johor 2020 berikutan penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Sabudin berkata, MSNS perlu menyusun semula perancangan latihan setiap persatuan sukan di negeri itu bagi menghadapi SUKMA 2020 dan memastikan atlet Negeri Sembilan mampu meraih pencapaian cemerlang pada temasya sukan terbesar negara itu.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon semula peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri bagi pembayaran elaun jurulatih dan atlet menjelang akhir tahun nanti bagi persiapan menghadapi SUKMA yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2021.

Menurutnya, satu surat mengenai perkara itu sudah mula diedarkan kepada semua persatuan sukan yang terbabit.

"Saya berharap persatuan sukan, pegawai dan atlet dapat memahami perkara itu kerana pemberhentian bayaran elaun ini hanya membabitkan tiga bulan iaitu dari Mei hingga Julai 2020 dan disambung semula pembayarannya mulai Ogos," katanya.

Baru-baru ini, satu mesyuarat jawatankuasa SUKMA diadakan bagi mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 ataupun dianjakkan ke 2021 berdasarkan beberapa faktor antaranya pemantauan perkembangan Covid-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting seperti peperiksaan awam atau sukan utama selain meneliti dan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh.-tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 8:57 PM