PULISIC terbaring kesakitan selepas berlaga dengan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand ketika menjaringkan gol AS. FOTO AFP
PULISIC terbaring kesakitan selepas berlaga dengan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand ketika menjaringkan gol AS. FOTO AFP
Reuters

Doha: Belanda perlu menyerlah untuk mencapai impian di Piala Dunia bermula dengan aksi pusingan kalah mati menentang Amerika Syarikat (AS), Sabtu ini.

Banyak yang diperkatakan mengenai pasukan Belanda terutama berkaitan potensi pasukan untuk mara ke final di Qatar, apabila dikendalikan jurulatih veteran, Louis van Gaal.

Tetapi, walaupun mereka muncul juara kumpulan, tidak banyak bukti keyakinan diri dipamerkan ketika mengatasi Senegal, Ecuador dan tuan rumah, Qatar.

Situasi itu mungkin memberi harapan kepada AS yang turun sebagai pasukan underdogs pada aksi 16 terakhir itu, tetapi sudah membuktikan potensi apabila tidak tewas dalam Kumpulan B, apabila seri dengan England dan Wales sebelum menang tipis ke atas Iran.

Pada ketika AS risau menanti berita mengenai kecergasan penyerang bintang, Christian Pulisic yang cedera tulang pelvis dan dinilai secara harian, jurulatih mereka, Gregg Berhalter berkata, pasukan itu tidak mengalami kelemahan untuk aksi di Stadium Khalifa International nanti.

"Ini adalah peluang hebat, tetapi kami tidak akan menghadapinya dengan berfikir ia sebagai satu penghormatan," kata Berhalter.

"Kami berhak berada di posisi sekarang dan kami mahu terus melangkah. Kami tidak mahu melangkah pulang Sabtu ini.

"Dari sini, apa saja boleh berlaku. Kami perlu bermain dan berfikir mengenai satu perlawanan dalam satu masa. Tidak perlu menjangka atau membayangkan sejauh mana pasukan ini mampu melangkah," kata Berhalter yang cukup arif mengenai bola sepak Belanda.

Pengendali berusia 49 tahun itu pernah bermain di Liga Belanda bersama tiga kelab berbeza sejak 1996 hingga 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 9:35 PM