RASHFORD (kanan) jaring gol kemenangan England menewaskan Slovakia 2-1 di Wembley. -Foto EPA
RASHFORD (kanan) jaring gol kemenangan England menewaskan Slovakia 2-1 di Wembley. -Foto EPA
AFP

LONDON: Marcus Rashford menebus kesilapannya sebelum membantu England menang 2-1 di laman sendiri ke atas Slovakia awal pagi tadi yang membolehkan mereka hanya selangkah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan.

Pemain berusia 19 tahun itu dipersalahkan apabila Stanislav Lobotka mengejutkan penonton di Wembley yang hanya dipenuhi dua pertiga untuk memberikan Slovakia gol pendahuluan seawal minit ketiga namun dia kemudiannya mencipta gol penyamaan buat Eric Dier dan meledak gol kemenangan dari jarak 18 meter pada babak kedua.

Kemenangan itu meletakkan England lima mata di depan Slovakia di puncak Kumpulan F bermakna anak buah Gareth Southgate hanya memerlukan dua mata daripada dua perlawanan terakhir menentang Slovenia dan Lithuania untuk memastikan kemaraan.

“Untuk bangkit daripada ketinggalan menentang pasukan yang mempunyai ramai pemain bagus, terutama di bahagian tengah, kami perlu mempamerkan karakter,” kata Southgate.

PEMAIN England meraikan jaringan Rashford. -Foto EPA
PEMAIN England meraikan jaringan Rashford. -Foto EPA

“Marcus Rashford membuktikan seperti mana pemain lain dia mempunyai karakter hebat. Dia melakukan kesilapan menjurus kepada gol mereka tapi dia tetap tabah dan rajin.”

England mengalami huru-hara sejak mengatasi Slovakia 1-0 pada perlawanan pembukaan mereka setahun lalu, yang mana selepas itu Sam Allardyce dipecat kerana pendedahan dalam akhbar dan digantikan Southgate, namun pasukan mereka kini semakin berkembang dan kemaraan ke Russia semakin hampir.

Sekalipun mempamerkan hantaran tepat dan gerakan bijak, Slovakia kendalian Jan Kozak mendapati mereka di posisi bahaya dalam kumpulan itu dengan Slovenia dan Scotland hanya satu mata di belakang.

“Saya minta maaf kerana keputusan ini tapi lawan lebih bagus terutama pada babak kedua,” kata Kozak.

Ketika juara kumpulan layak secara automatik, pasukan tangga kedua kumpulan terpaksa berdepan dua aksi play-off.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 9:05 AM