SOUTHGATE bercakap dengan pemainnya ketika sesi latihan England di Blankenhain, Thuringia, kelmarin.
SOUTHGATE bercakap dengan pemainnya ketika sesi latihan England di Blankenhain, Thuringia, kelmarin.
AFP

Cologne, Jerman: England dicemuh peminat sendiri dan dikritik hebat media di tanah air susulan prestasi goyah walaupun mengutip empat mata daripada dua perlawanan awal di Euro 2024.

Mereka hanya menang tipis 1-0 ke atas Serbia disusuli seri 1-1 dengan Denmark namun skuad Gareth Southgate kini hanya selangkah untuk mara ke peringkat kalah mati dan menduduki tangga teratas Kumpulan C jika menewaskan Slovenia di Cologne awal pagi Rabu.

Namun Southgate mempunyai beberapa isu perlu diselesaikan jika skuad Three Lions mahu memenuhi harapan untuk menjadi juara Eropah buat kali pertama.

Ketika ditanya wartawan, dia mengakui pemainnya tidak berada pada tahap fizikal terbaik untuk mengasak lawan dan bertahan dalam aksi selama 90 minit.

"Kami tidak melakukan dengan cukup baik, dengan intensiti mencukupi. "Kami juga terhad untuk melakukannya dengan keadaan fizikal semasa," kata pengurus England itu.

Musim liga yang memenatkan bukan alasan kerana pasukan seperti Jerman, Sepanyol dan Portugal memulakan kempen dengan cemerlang walaupun tekanan yang sama turut dihadapi pemain mereka.

Menurut Southgate, ramai pemain dalam skuadnya tidak bermain 90 minit dengan kompetitif selama hampir sebulan sebelum menentang Serbia dan kini dia berharap mereka akan mendapatkan semula ketajaman ketika kejohanan berlangsung.

Katanya lagi, ketiadaan Luke Shaw juga antara isu perlu diselesaikan kerana Shaw satu-satunya tonggak bek kiri dalam skuad 26 pemain. Dia tidak beraksi sejak Februari lalu dan belum cukup cergas untuk berlatih bersama rakan sepasukan di Jerman.

Dengan pertahanan Manchester United itu bakal tersisih menentang Slovenia, Southgate perlu membuat keputusan sama ada dia boleh menanggung risiko menurunkannya dalam aksi kompetitif pada peringkat kalah mati walaupun pemain berusia 28 tahun itu dapat membuktikan kecergasannya.

Jude Bellingham dan Declan Rice pula kekal penting dalam memenuhi impian England walaupun gagal menyerlah ketika menentang Denmark tetapi siapa bakal bergandingan dengan mereka di bahagian tengah masih diperdebatkan.

Eksperimen Southgate yang menempatkan Trent Alexander-Arnold di posisi tengah dikatakan tidak berhasil dan tonggak Liverpool itu digantikan Conor Gallagher dalam kedua-dua perlawanan pembukaan.

Harry Kane juga menjadi sasaran kritikan walaupun menjaringkan gol antarabangsa ke-64 menentang Denmark.

Kapten England itu digantikan ketika permainan berbaki 20 minit di Frankfurt dan ada gesaan untuk dia digugurkan jika prestasinya tidak meningkat menentang Slovenia.

Namun, Kane sudah biasa dalam situasi itu dan kekal menjadi pencetak gol buat England. Dia gagal menjaringkan gol dalam saingan peringkat kumpulan di Euro dan Piala Dunia sebelum ini tetapi bangkit meledak enam gol dalam aksi peringkat kalah mati di kedua-dua kejohanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 11:28 AM