PENGENDALI Itali, Luciano Spalletti mahu pemainnya segera perbaik kelemahan untuk aksi 16 terbaik menentang Switzerland, Sabtu ini. FOTO Agensi
PENGENDALI Itali, Luciano Spalletti mahu pemainnya segera perbaik kelemahan untuk aksi 16 terbaik menentang Switzerland, Sabtu ini. FOTO Agensi
AFP

Leipzig, Jerman: Meskipun Itali sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati saingan Euro 2024, namun nyaris tersingkir sebelum jaringan lewat Mattia Zaccagni menyelamatkan juara bertahan itu untuk mengikat Croatia 1-1.

Itali yang dibimbing Luciano Spalletti dijadual menentang Switzerland dalam aksi peringkat 16 terbaik di Berlin Sabtu ini, memberikan mereka empat hari untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Sepanjang tiga aksi Kumpulan B, prestasi Itali cukup mengecewakan di mana juara edisi lalu itu hanya mampu menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku naib juara di belakang Sepanyol dengan perbezaan lima mata.

Malah, corak permainan Spalletti yang menekankan aspek menyerang juga tidak kelihatan apabila anak buahnya kerap kehilangan bola sekali gus sukar mencipta gerakan.

"Jika anda tidak mencipta gerakan, anda tidak akan menjaringkan gol. Kami sentiasa mahu memburu keputusan positif dalam setiap perlawanan dengan objektif mahu mencapai kemenangan.

"Saya mengharapkan aksi yang lebih daripada pemain saya dalam perlawanan selepa sini kerana ia cukup mustahak untuk menjamin laluan pasukan ke peringkat seterusnya," kata Spalletti.

Dalam aksi terakhir kumpulan, Itali hampir tumbang di tangan Croatia selepas lawan mendahului menerusi jaringan Luka Modric pada minit 55.

Ketika aksi hampir tamat, Zaccagni menyelamatkan maruah skuad Azzuri dengan meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk menghantar Itali ke pusingan 16 terbaik sekali gus menghidupkan misi mempertahankan trofi kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 7:31 PM