SPALLETTI bersama ketua jurulatih Inter Milan  Simone Inzaghi (kiri).
SPALLETTI bersama ketua jurulatih Inter Milan Simone Inzaghi (kiri).
Reuters

Rom: Jurulatih Napoli Luciano Spalletti tidak akan mengendalikan tugas bersama juara baharu Itali itu musim depan selepas meminta untuk berehat setahun, menurut pemilik kelab hari ini.

Spalletti baharu sahaja mengemudi Napoli meraih gelaran Serie A pertama mereka sejak 1990 tetapi spekulasi tersebar mengenai kedudukannya di kelab itu.

"Spalletti seorang jurulatih hebat, dia lelaki bebas, banyak memberikan sumbangan. Saya berterima kasih kepadanya dan kini dia mahu melakukan apa yang dia mahu," kata pemilik Napoli Aurelio De Laurentiis dalam rancangan bual bicara di Rai TV.

Spalletti, 64, memberitahu pemilik kelab dia mahu berehat setahun, kata De Laurentiis yang tidak membantah permintaan itu.

Spalletti yang mengambil alih tugas di Napoli pada 2021 mengalirkan air mata selepas Napoli mengesahkan gelaran mereka pada awal bulan ini dan beliau menujukan kejayaan itu kepada keluarga dan abangnya yang meninggal dunia empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 8:31 PM