Lingard (kanan) menjaringkan gol penyamaan United ketika menentang AC Milan pada aksi Piala Juara Antarabangsa, di Cardiff, awal pagi ini. FOTO AFP
Lingard (kanan) menjaringkan gol penyamaan United ketika menentang AC Milan pada aksi Piala Juara Antarabangsa, di Cardiff, awal pagi ini. FOTO AFP
Reuters

MANCHESTER United menewaskan AC Milan 5-4 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam saingan Piala Juara Antarabangsa, di Cardiff, awal pagi ini.

United menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan terakhir pra musim itu menerusi Marcus Rashford, yang berjaya mencuri ruang melakukan larian di antara bahagian pertahanan lawan untuk menyambar bola umpanan jauh Nemanja Matic.

Pemain berusia 21 tahun itu membawa bola di dalam kawasan kotak penalti sebelum berjaya melepasi dua pertahanan lawan dan melakukan rembatan kaki kanan yang terkena kaki kapten Milan Alessio Romagnoli menewaskan penjaga gol Gianluigi Donnarumma.

Bagaimanapun, jaringan pendahuluan itu tidak bertahan lama selepas tekanan daripada wakil Itali itu membolehkan pemain tengah Suso menyamakan kedudukan 1-1 menewaskan David de Gea.

Bekas pemain Liverpool berkenaan kemudian membantu mencipta jaringan kedua selepas hantaran lintang dari sepakan sudut membolehkan Samu Castillejo menanduk masuk gol kedua pasukan itu.

Pemain gantian Jesse Lingard menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan leret selepas menerima hantaran Anthony Martial, sehingga memaksa perlawanan ditentukan menerusi penalti.

Kedudukan seri 4-4 dalam penentuan penalti selepas De Gea menghalang percubaan Daniel Maldini namun pemain muda Daniel James berjaya menyempurnakan sepakan penalti seterusnya untuk memastikan kemenangan United.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer akan memulakan kempen musim baharu Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea pada Ahad depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 9:11 AM