SEPAKAN lemah Morata mudah diselamatkan Donnarumma sekali gus menggagalkan peluang Sepanyol mara ke perlawanan akhir. FOTO EPA
SEPAKAN lemah Morata mudah diselamatkan Donnarumma sekali gus menggagalkan peluang Sepanyol mara ke perlawanan akhir. FOTO EPA
Agensi

London: Selepas masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80, Alvaro Morata tidak menunggu lama untuk menukarkan gelaran wira kepada pengkhianat atau pemusnah pasukan sendiri.

Selepas gagal menyempurnakan sepakan keempat Sepanyol dalam penentuan penalti, penyerang Juventus itu mendapat kritikan dan kecaman meluas di media sosial.

Aksi antara Itali dan Sepanyol boleh dikatakan salah satu perlawanan menarik di Euro 2020, namun ia agak memalukan jika ada pemain baik dari Sepanyol mahupun Itali terpaksa menjadi watak pemusnah pasukan sendiri di penentuan penalti.

"Salah satu sepakan penalti paling teruk pernah saya saksikan, Morata melakukan sepakan dengan lemah, penjaga gol sudah merebahkan badan sebelum dia menyepak bola," kata salah seorang peminat di Twitter.

"Jika Morata dan Dani Olmo adalah pemandu lori (memuatnaik gambar lori terbabas sebelum memasuki terowong)," seorang lagi peminat mengecam Morata dan Olmo selepas gagal menyempurnakan tugas masing-masing.

"Bersemadi dengan aman - Morata," kata seorang lagi peminat selepas sepakan lemah Morata mudah diselamatkan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma, sebelum Jorginho menyempurnakan sepakan terakhir untuk membawa Azzurri ke perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:39 AM