BALE (kiri) kini antara jentera gol Real. FOTO/AFP
BALE (kiri) kini antara jentera gol Real. FOTO/AFP
Agensi  

MADRID: Gareth Bale terus mempamerkan ketajaman sentuhan penyudah dengan menjaringkan gol dalam tiga aksi persahabatan pramusim untuk Real Madrid, terbaru ketika menewaskan AC Milan 3-1 untuk meraih Trofeo Santiago Bernabeu.

Bale turut meledak ketika menentang Juventus dan Roma dalam jelajah Madrid di Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, meneruskan rekod cemerlang menentang kelab Itali apabila meledak jaringan pada jarak dekat sebelum berakhir babak pertama.

Terdahulu Karim Benzema menjaringkan gol susulan hantaran Dani Carvajal seawal minit kedua.

Milan pantas menyamakan kedudukan menerusi gerakan Gonzalo Higuain yang mara ke kotak penalti dan melepaskan rembatan menewaskan Keylor Navas. Dia tampil buat kali pertama bersama Milan selepas meninggalkan Juventus minggu lalu.

Pelawat hampir mendahului pada minit ke-27 namun Navas berjaya menafikan sepakan percuma Giacomo Bonaventura.

Jaringan kemenangan hadir sebelum tamat separuh masa pertama apabila Milan gagal mengeluarkan bola susulan sepakan penjuru dan Bale menolak masuk bola mengatasi penjaga gol, Gianluigi Donnarumma. Separuh masa kedua tidak banyak peluang meledak jaringan kedua-dua pasukan apabila melakukan banyak pertukaran.

Madrid memberikan penampilan pertama pemain baru, Vinicius Junior selain penjaga gol remaja, Andriy Lunin.

Luka Modric turut diturunkan pada minit ke-77 walaupun terdapat laporan dia berkemungkinan dijual kepada Inter Milan. Dia hampir meledak jaringan pada masa kecederaan apabila memasuki kotak penalti menerusi satu hantaran dengan Donnarumma bertindak cemerlang untuk menolak cubaan pemain Croatia itu namun Borja Mayoral pantas menanduk bola berkenaan untuk menerjah gawang.

Sebelum musim baru bermula, Madrid akan bertemu Atletico Madrid di Piala Super UEFA Super Cup di Estonia pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 12:10 PM