PEMAIN Selangor FC, Ronnie Fernandes (tengah) diasak barisan pemain Perak. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN Selangor FC, Ronnie Fernandes (tengah) diasak barisan pemain Perak. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bagaikan drama jam 7 petang apabila satu persatu insiden tercetus membabitkan pertemuan FC menentang Perak FC yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Perlawanan yang berkesudahan memihak kepada Selangor FC 2-1 dicemari dua layangan kad merah membabitkan pembantu jurulatih Perak FC dan pemain Selangor FC, Alexander Agyarkwa Ameyaw.

Malah, perlawanan terbabit juga mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong pelawat berikutan Selangor FC dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR) mendapati terdapat insiden kekasaran di kotak penalti Perak FC sebelum disempurnakan Ronnie Fernandes.

Tidak cukup itu, pemain tengah Perak, Nur Azfar Arif dipercayai membuat isyarat lucah pada babak kedua perlawanan.

Pemain yang diturunkan pada babak kedua perlawanan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dan membuat isyarat lucah kepada penjaga garisan sebelum tindakan itu berjaya dirakam kamera.

Drama perlawanan terbabit tidak hanya terhenti di dalam stadium saja apabila terdapat perkhabaran yang mengatakan penyokong Selangor FC 'diculik' di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) malam tadi.

Berdasarkan klip video yang viral di akaun X mendakwa bahawa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC yang difahamkan terdiri daripada kumpulan ultras ke dalam bas mereka.

Namun, terdapat maklumat lain mengatakan bahawa Ultras Perak bukanlah mahu membawa lari individu terbabit namun sebenarnya hanya membawa ke balai Polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan rekod, kedua-dua penyokong terbabit boleh diibaratkan seperti anjing dan kucing apabila sering mencetuskan kekecohan sebaik perlawanan berakhir.

Pada Disember tahun lalu, seramai 23 individu termasuk remaja ditahan disyaki terbabit pergaduhan antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di perkarangan Stadium MBPJ.

Kejadian itu menyebabkan sebuah kereta mengalami kerosakan dipercayai dikhianat sewaktu pergaduhan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 3:40 PM