AZFAR dipercayai menunjukkan isyarat lucah. FOTO AGENSI
AZFAR dipercayai menunjukkan isyarat lucah. FOTO AGENSI
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlawanan membabitkan Selangor FC menentang Perak FC yang berkesudahan memihak kepada tuan rumah 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menarik perhatian penyokong bola sepak tanah dengan tindakan seorang pemain pelawat.

Hal ini kerana, pemain tengah Perak, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dipercayai membuat isyarat lucah pada babak kedua perlawanan.

Ketika situasi perebutan bola dengan Zikri Khalili, Azfar meminta lontaran ke dalam namun pengadil tidak mengendahkan permintaan pemain itu dan memberikan lontaran ke dalam kepada pasukan lawan.

Pemain yang diturunkan pada babak kedua perlawanan itu kemudiannya tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dan membuat isyarat lucah kepada penjaga garisan dan tindakan itu dirakam oleh kamera.

Jika benar tindakan terbabit dilakukan pemain itu jelas sekali mengundang kritikan dan cemuhan penyokong bola sepak tanah air yang menganggap ia adalah perbuatan tidak profesional serta biadap.

Malah, terdapat permintaan daripada penyokong bola sepak tanah air supaya pemain itu dikenakan tindakan bagi mengelak insiden sama berulang.

Pada perlawanan petang semalam menyaksikan Selangor FC terus mengekalkan rekod cemerlang apabila meraih kemenangan 2-1 menumpaskan Perak FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kedua-dua go tuan rumah disumbangkan pemain import mereka Ronnie Fernandes manakala jaringan pasukan Perak FC disempurnakan pemain gantian Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Skuad The Bos Gaurus akan berehat panjang sebelum menyambung aksi Liga Super menentang Penang pada 13 Julai depan, manakala Selangor FC akan berdepan Kuching City FC bagi aksi suku akhir Piala FA 2024.

Mengikut rekod, bekas pemain Selangor, Nurridzuan Abu Hassan dan Amri Yahyah pernah dikenakan hukuman gantung dan denda kerana menunjukkan isyarat lucah pada perlawanan menentang Perak FC pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 3:55 PM