HUSSEIN menyaksikan Mohd Zaid menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Naazron (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang. FOTO Aizuddin Saad
HUSSEIN menyaksikan Mohd Zaid menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Naazron (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang. FOTO Aizuddin Saad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Kelakuan nakal dan mahu mengusik penyokong pasukan lawan menjadi punca dua pelajar lelaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan insiden itu, orang awam menahan dua lelaki terbabit sebelum menyerahkan kepada polis.

Menurutnya, mereka kini masih dalam tahanan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Tiada motif spesifik tetapi lebih kepada perbuatan nakal mengusik penyokong lawan.

"Insiden itu tidak mendatangkan kecederaan dan kerosakan besar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kajang (IPD), di sini, hari ini.

Terdahulu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kajang baharu antara Senior Komisioner Mohd Zaid Hassan dengan Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.

Hussein berkata, beliau menyeru penyokong meriahkan sukan dengan baik dan harmoni serta elakkan pertelingkahan atau pergaduhan.

"Sama-samalah menikmati sukan bola sepak dalam suasana harmoni," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki ditahan kerana disyaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan Perak FC di NKVE, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.49 malam.

Siasatan mendapati kejadian berlaku terhadap bas membawa penyokong sebuah kelab bola sepak selepas selesai menyaksikan perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Terdahulu kecoh di media sosial apabila terdapat dakwaan insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya NKVE, di sini.

Insiden terbabit berlaku selepas tamatnya perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan memihak tuan rumah 2-1.

Berdasarkan klip video yang tular di akaun X mendakwa bahawa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 10:29 AM