PEMAIN Selangor FC, Ronnie Fernandes meraikan jaringan golnya di Stadium MBPJ. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN Selangor FC, Ronnie Fernandes meraikan jaringan golnya di Stadium MBPJ. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Selangor FC terus mengekori rapat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila merekodkan kemenangan keempat dan ketiga di Liga Super selepas menumpaskan Perak 2-1 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Jelas sekali barisan anak buah Nidzam Jamil mempamerkan aksi menyakinkan apabila lebih menguasai awal permainan dengan kerap mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan bagi mencari gol pendahuluan.

Pada babak pertama menyaksikan skuad Gergasi Merah terlebih dahulu menguji pintu gawang lawan menerusi Ronnie Fernandes namun sepakannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Namun, tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk berada di depan apabila Ronnie mudah menolak masuk gol pertama pada minit 24 untuk kedudukan 1-0.

Skuad kendalian Yusri Che Lah terus kempunan untuk meraih kemenangan apabila Selangor FC dihadiahkan sepakan penalti selepas semakan menerusi video bantuan pengadil (VAR) mendapati terdapat insiden kekasaran di kotak penalti Perak FC sebelum disempurnakan Ronnie pada minit 44 untuk jaringan 2-0.

Memasuki babak kedua menyaksikan Perak FC melakukan sekurang-kurangnya empat tukaran pemain bagi memantapkan lagi barisan pertahanan dan serangan.

VAR terus memainkan peranan apabila pemain import Selangor FC Alexander Agyarkwa Ameyaw dilayangkan kad merah selepas semakan oleh pengadil perlawanan Ahmad Zuhadi Dzulkifli mendapati dia memgasari Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit 64.

Kelebihan itu dimanfaat sebaik mungkin barisan pemain Perak FC apabila melancarkan serangan bertali arus bagi merapatkan jurang gol.

Usaha mereka ternyata berhasil apabila pemain gantian Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menanduk gol untuk Perak FC untuk kedudukan 2-1.

Walaupun kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namum keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Selangor FC terus mengekalkan rekod kemenangan dalam empat aksi Liga Super dan saingan Piala FA.

Kemenangan itu juga menyaksikan Selangor FC menghuni tangga kedua Liga Super dengan sembilan mata manakala Perak FC pula di kedudukan ke 11 selepas mengutip tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 7:49 PM