BEBERAPA penyokong cedera selepas pergaduhan di luar Stadium MBPJ, Sabtu lalu.
BEBERAPA penyokong cedera selepas pergaduhan di luar Stadium MBPJ, Sabtu lalu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak mahu lagi isu penyokong gengster bermaharajalela dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) apabila bercadang mengharamkan individu terbabit daripada memasuki stadium pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pihak tertentu yang cuba mencetuskan ketegangan dan pergaduhan pada perlawanan Liga M.

Beliau berkata, badan organisasi liga itu menyelar tindakan tidak bertanggungjawab terbabit dan mereka perlu bekerja secara kolektif bagi memastikan kancah domestik selamat buat semua lapisan penyokong.

"Tindakan tidak bertanggungjawab daripada segelintir kumpulan kecil penyokong ini tidak dialu-alukan dalam bola sepak kita dan kita mesti bertindak sebagai komuniti bola sepak untuk memastikan persekitaran yang selamat buat semua penyokong.

"Ya, (sekat kelompok penyokong ini ke stadium) jika insiden itu terlalu kerap berlaku dan menjadi bertambah bahaya. Kita perlu mengambil tindakan sewajarnya walaupun ia satu langkah yang tegas.

"Keselamatan untuk semua penyokong sentiasa menjadi keutamaan MFL dan semua pasukan bertanding," katanya.

Terdahulu, isu pergaduhan dalam sukan bola sepak dilihat semakin parah dan terbaharu ia membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC bergaduh di luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sehingga ada yang cedera di muka.

Difahamkan kekecohan itu berlaku sebelum perlawanan antara kedua-dua pasukan dan lebih menyedihkan apabila kenderaan turut dirosakkan oleh segelintir penyokong yang tidak 'bertamadun' itu.

Melalui video dan gambar tersebar di media sosial, kelihatan beberapa penyokong menerima rawatan di kepala akibat pergaduhan itu dan penyokong Perak turut tidak dibenarkan keluar dari stadium untuk keselamatan semua orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 9:32 PM