BARISAN pemain Venezuela meraikan kemenangan mengatasi Ecuador. -FOTO Reuters
BARISAN pemain Venezuela meraikan kemenangan mengatasi Ecuador. -FOTO Reuters
AFP

Santa Clara, Amerika Syarikat: Gol dari pemain gantian Jhonder Cadiz dan Eduard Bello memberikan Venezuela kemenangan 2-1 ke atas Ecuador yang beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan Kumpulan B Copa America hari ini.

Ecuador terpaksa bermain dengan 10 orang dari minit ke-22 di Stadium Levi apabila penyerang Enner Valencia di layangkan kad merah kerana melakukan terjahan berbahaya.

Penyerang berusia 34 tahun itu menendang dada pertahanan Venezuela, Jose Martinez, semasa cuba merebut bola yang melantun tinggi di dalam kotak penalti.

Dia pada mulanya diberikan kad kuning tetapi selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), dia akhirnya dilayangkan kad merah.

Ecuador yang mengawal permainan sebelum insiden itu, beraksi dengan baik apabila mendahului pada minit ke-40 apabila Venezuela gagal mengeluarkan sepakan percuma ke dalam kotak penalti dan Jeremy Sarmiento mengambil peluang dengan menyepak bola masuk.

Ketua jurulatih Venezuela, Fernando Batista, membuat dua pertukaran pada waktu rehat, dengan memasukkan Cadiz dan Bello yang membuat impak penentuan.

Penyerang pasukan Vinotinto (Venezuela), Salomon Rondon, melorongkan bola kepada Cadiz, yang membuat sepakan rendah dari tepi kotak penalti dan bola sedikit terkena pemain lawan sebelum melepasi penjaga gol Ecuador, Alexander Dominguez.

Kemudian, pada minit ke-74, Alexander Gonzalez menghantar bola lintang dari sebelah kanan, disambut dengan tandukan oleh Rondon.

Tandukan itu ditepis oleh Dominguez tetapi Bello pantas mengambil bola muntah itu dengan menyepak masuk ke dalam gol.

"Dapat menjaringkan gol yang membantu dalam kemenangan dan menyumbang kepada gol pertama, adalah satu yang menggembirakan.

"Tiga mata ini sangat penting untuk apa yang akan datang," kata Bello.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 10:58 AM