HERNANDEZ dikerumuni rakan sepasukan selepas menjaringkan gol penyamaan di Stadium Nilton Santos. FOTO AFP
HERNANDEZ dikerumuni rakan sepasukan selepas menjaringkan gol penyamaan di Stadium Nilton Santos. FOTO AFP
AFP

Rio de Janeiro: Jaringan saat akhir Ronald Hernandez membolehkan Venezuela seri 2-2 dengan Ecuador dalam saingan Copa America pagi ini.

Ecuador dua kali mendahului menerusi Ayrton Preciado dan Gonzalo Plata pada kedua-dua babak selepas pemain Venezuela Edson Castillo menanduk kencang gol penyamaan.

Satu mata membolehkan Venezuela menduduki tangga ketiga dengan dua mata, satu mata di atas Ecuador yang kurang satu perlawanan manakala tuan rumah Brazil mengetuai Kumpulan A dengan dua kemenangan.

Ecuador bermula dengan garang apabila rembatan Leonardo Campana dan Enner Valencia sedikit tersasar.

AKSI Plata (dua dari kanan) menjaringkan gol kedua  Ecuador. FOTO AFP
AKSI Plata (dua dari kanan) menjaringkan gol kedua Ecuador. FOTO AFP

Pemain Venezuela, Cristian Casseres berpeluang mengejutkan lawan namun rembatannya dari jarak 11 meter melewati palang sebelum dia melepasi perangkap ofsaid dan menyungkit bola melepasi jangkauan penjaga gol namun diselamatkan Pedro Hincapie di atas garisan.

Kebuntuan jaringan terlerai enam minit sebelum rehat menerusi tolakan Preciado dari jarak dekat selepas berlaku kelam kabut di depan gol Venezuela. .

Venezuela berjaya menyamakan kedudukan enam minit selepas rehat apabila Castillo yang tidak dikawal menanduk kencang dari jarak tujuh meter.

Ecuador terus mengasak dan kembali mendahului selepas larian kencang Plata memperdayakan lawan dan rembatannya yang ditampan penjaga gol Venezuela disambar Christian Noboa sebelum ditolak dengan mudah Plata.

Bagaimanapun, Hernandez muncul penyelamat Venezuela selepas dia melepasi kawalan Plata dan menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 8:42 AM