RONDON dan rakan sepasukan meraikan kejayaan ke suku akhir selepas tamat perlawanan menentang Mexico.   FOTO AFP
RONDON dan rakan sepasukan meraikan kejayaan ke suku akhir selepas tamat perlawanan menentang Mexico. FOTO AFP
Reuters

Inglewood, California: Jaringan penalti Salomon Rondon pada babak kedua membolehkan Venezuela menewaskan Mexico 1-0 dalam aksi Kumpulan B dan mara ke suku akhir Copa America pagi tadi.

Rondon tidak melakukan kesilapan pada minit tke-57 selepas Jon Aramburu dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Julian Quinones. Rembatannya memperdayakan penjaga gol Mexico Julio Gonzalez apabila tepat ke penjuru gawang.

Jaringan itu yang ke-42 Rondon untuk negaranya dan dia juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Venezuela.

Mexico turut berpeluang menjaringkan penalti susulan rembatan Jorge Sanchez terkena tangan Miguel Navarro tetapi penjaga gol Venezuela Rafael Romo berjaya menyelamatkan sepakan Orbelin Pineda pada minit ke-87.

"Kadang-kadang kami tidak berada dalam posisi menguasai bola tetapi kami tidak putus asa," kata jurulatih Venezuela Fernando Batista. "Mereka memberikan segalanya dan itu membuatkan saya bangga."

Kemenangan itu melonjakkan Venezuela yang menewaskan Ecuador dalam aksi pembukaan ke puncak kumpulan dengan enam mata dan mengesahkan kemaraan ke peringkat lapan terakhir dengan baki satu perlawanan.

Mexico akan menentang Ecuador di Arizona pada Isnin ini dalam perlawanan yang menentukan pasukan kedua mengiringi Venezuela.

Jamaica pula sudah tersingkir walau apa keputusan ketika menentang Venezuela di Texas selepas tewas di tangan Mexico dan Ecuador.

Venezuela akan muncul juara kumpulan jika mereka seri atau menang pada aksi terakhir menentang Jamaica sekali gus boleh mengelak pertembungan dengan juara bertahan Argentina di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:59 PM